Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Teater Madu 3 Madu yang bakal dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis pada 27 Jun hingga 29 Jun ini merupakan hasil adaptasi daripada filem klasik Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Madu 3  yang ditayangkan pada tahun 1964.

Teater ini dianjurkan oleh Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR), JKKN Perlis, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Pengarah teater, Amran Nasrudin yang juga pelakon veteran tanah air berkata, beliau menggabungkan pelakon popular dan bakat baharu dalam seni teater seperti Mubarak Majid, Mat Over, Datuk Imuda, Abon, Jibam Ramlee, Keena Mentor, Pinat Al Edros, Sharul Titis, Shasha Marsellla dan Aninda Nurtedja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Perlis, YB Abu Bakar Hamzah ketika menyampaikan ucapan dalam majlis pelancaran dan sidang media teater Madu 3 Madu di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis.

Oleh sebab diadaptasi daripada filem arahan dan lakonan P. Ramlee, teater Madu 3 Madu membawa pelbagai mesej yang mengangkat isu berkaitan dengan rumah tangga, toleransi dan nilai kekeluargaan.

Membawa kisah seorang suami yang terjerat dalam dunia tiga orang isteri yang penuh dengan drama lucu dan pengajaran, Amran Nasrududin menjelaskan bahawa pihak produksi tidak mahu merosakkan, sebaliknya mengekalkan sebahagian besar skrip asal filem ikonik tersebut.

Dalam sidang media semasa majlis pelancaran teater tersebut di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis pada 16 Jun lalu, Amran Nasrudin yang juga Pengerusi PEMEKAR berkata, tujuan pihaknya memilih Perlis bagi pementasan teater ini adalah untuk memeriahkan acara dan aktiviti kebudayaan di negeri ini yang turut mempunyai banyak artis teater terkemuka.

Sebelum ini, teater Madu 3 Madu telah dipentaskan di Balroom, Hotel Grand Barakah, Ampang pada 3 Mac 2023 hingga 5 Mac 2023.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Perlis, YB Abu Bakar Hamzah berkata, persembahan teater seperti ini sedikit banyak dapat membantu menarik pengunjung ke Perlis, sekali gus merancakkan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

“Teater merupakan suatu persembahan kesenian yang telah lama wujud di negara kita, dan perlu disuburkan semula dalam kalangan masyarakat. Usaha seperti ini dapat membantu menaikkan semula kesenian dan kebudayaan di Perlis, selain menarik kehadiran pengunjung ke sini,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi