Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Pertubuhan Seni Rupa Jiwa dengan kerjasama Galeri Kotak Seni dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur sekali lagi tampil dengan program Borak Orang Timur (BOT) membawakan tajuk “Nadi dan Nafas Teater di Negeri Kelantan”, baru-baru ini.

Pelakon dan pengarah terkenal juga penggiat teater prolifik, Sabri Yunus sebagai panel forum menegaskan bahawa teater merupakan aparatus yang mampu memanusiakan manusia.

Dalam masa yang sama, beliau berharap kerajaan negeri menilai semula syarat-syarat yang dikenakan kepada penggiat teater.

“Walaupun teater masih boleh bergerak secara kecil-kecilan, namun sampai bila penggiat teater Kelantan hendak berkarya dengan sekatan sebegini? soal Sabri.

Sabri yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam drama pentas optimis enakmen bersabit dengan persembahan teater di negeri ini akan berubah satu hari nanti.

Hal ini turut disokong oleh Jihan Megha Ismail dan turut menyatakan iltizamnya untuk terus menyemarakkan teater Kelantan dengan mengadakan teater kecil secara berterusan mengikut dana yang ada.

Beliau ingin memasyarakatkan teater dan mahu membuktikan bahawa persembahan teater tetap boleh diadakan tanpa perlu menunggu dana yang besar daripada mana-mana pihak.

Beliau menyatakan komitmennya selaku Presiden Pertubuhan Seni Rupa Jiwa untuk mengadakan persembahan teater mini pada setiap bulan selepas ini.

Pengarah teater yang mula berjinak dengan dunia pementasan pada tahun 2003 ingin mengambil tanggungjawab “berteater sambil berdakwah” demi kelangsungan bidang teater di negeri Kelantan.

Panel ketiga dan terakhir yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan (JKKN), Nurmizanum Saari juga berharap penggiat seni Kelantan terutamanya dalam bidang teater terus bersemangat menyemarakkan kegiatan tersebut.

Malah, beliau juga membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada para penggiat teater untuk datang ke JKKN Kelantan membawa idea pementasan masing-masing mengikut syarat yang ditetapkan.

Ruang melontar idea dan perbincangan sentiasa ada serta terbuka kepada semua yang berminat.

Terdahulu, program tersebut telah dihoskan oleh Amiera Saila, Pegawai Kebudayaan Universiti Malaysia Kelantan .

Beliau juga mengakhiri program dengan persembahan sebuah teater pendek bertajuk Kerusi, karya asal Sabri Yunus.

Teater pendek tersebut merupakan sebuah teater dalam loghat Kelantan lakonan Hafis Mustaffar dan Abdullah Muaz yang memuatkan renungan dan pemikiran untuk dihayati bersama.

Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail dalam ucapan perasmiannya menyatakan sokongan penuh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka terhadap bidang teater yang mampu berperanan sebagai wahana pencerahan minda masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi