Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Program tahunan di Perlis bermula tahun 2026 wajar dinaiktaraf dan diperkasakan agar mencapai tahap tertinggi, iaitu ke peringkat antarabangsa. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan profil negeri, malah berpotensi besar dalam merancakkan ekonomi tempatan melalui pendidikan, agama, pelancongan, pelaburan dan juga kerjasama global.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran hidangan Kurma Daging Perlis di The Village House Singgahsana Resort, Santubong, Kuching, Sarawak baru-baru ini bersempena dengan Promosi Juadah Perlis.
“Dengan sokongan dan kerjasama erat daripada para pemain industri khususnya dalam sektor pendidikan, agama, pelancongan, sukan, kebudayaan dan ekonomi digital perlu merangka strategi yang lebih berani, proaktif dan berimpak tinggi,” titah baginda.
Antara langkah penting begi mempromosikan kearifan Perlis termasuklah dengan memperkukuh promosi serta mempertingkatkan fasiliti dan prasarana sedia ada agar dapat menarik perhatian penganjur-penganjur utama program berprestij sekurang-kurangnya di peringkat serantau.
“Dengan perancangan yang tersusun dan sokongan semua pihak berkepentingan, Perlis mampu melonjak sebagai destinasi pilihan baharu bagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa yang mampu memberi limpahan manfaat kepada rakyat serta membuka lebih banyak peluang pembangunan masa hadapan,” titah baginda.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera dan puteri baginda berdua, iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku ke program yang dianjurkan oleh resort berkenaan dengan kerjasama YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Smart Leisure Travels itu disambut oleh pemilik The Village House, iaitu Donald Tan dan Marina Tan.
Menurut kenyataan tersebut, The Village House akan menjadikan Kurma Daging Perlis sebagai salah satu hidangan utama yang ditawarkan kepada para tetamu, termasuk pelancong tempatan dan antarabangsa untuk tempoh sebulan.
Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YBhg. Datuk Gerald Rentap Jabu; Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, YBrs. Puan Rubiah Tul Adwiyah Hj Md Yusoh serta Pengerusi Eksekutif MyUS Group, YBhg. Datuk Nellsen Young.
Terletak di tengah-tengah keindahan semula jadi Kampung Santubong, The Village House merupakan destinasi percutian butik yang mendamaikan, sesuai untuk mereka yang mendambakan gabungan kehijauan alam, warisan budaya dan ketenangan yang menyeluruh.
Resort ini menampilkan seni bina tradisional disulam dengan elemen moden, kolam renang yang menenangkan, hiasan dalaman berinspirasikan budaya tempatan serta layanan mesra.
Dengan jumlah bilik yang terhad, The Village House juga menawarkan pengalaman percutian eksklusif dan peribadi, ideal buat pasangan, penggemar seni dan warisan serta mereka yang mengimpikan percutian romantik yang penuh ketenangan.
Para pengunjung juga berpeluang meneroka pelbagai tarikan menarik berhampiran seperti Kampung Budaya Sarawak, denai hutan dan laluan pantai.