Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Victory Pictures secara rasminya melancarkan projek filem epik sukan bertemakan semangat kebangsaan atas kejayaan menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 yang diberi judul Sentuhan Wira, baru-baru ini.

Menariknya, wira 1992 seperti Datuk Rashid Sidek dan Datuk Soon Kit turut bertindak selaku penasihat Sentuhan Wira apabila terlibat secara langsung dalam pembangunan skrip, penyelidikan teknikal perlawanan serta memastikan semangat dan fakta sejarah kemenangan Piala Thomas 1992 dapat diangkat dengan tepat dan menyentuh hati penonton.

Menurut pengarah Sentuhan Wira, Lenny Ooi Teck Wooi filem tersebut bakal menjadi filem epik aksi sukan yang menyatukan fakta sejarah, emosi patriotik dan kekuatan sinematik.

“Saya selalu menyarankan kepada karyawan filem tempatan agar menghasilkan filem-filem yang berperanan menyatupadukan rakyat negara kita. Antaranya, filem yang bertemakan sukan seperti Sentuhan Wira,” ujarnya yang memberitahu beliau berada di Stadium Negara menyaksikan kejayaan skuad Piala Thomas 1992.

Selain mengenang kemenangan bersejarah dan menyingkap perkara-perkara yang membawa ke arah kejayaan itu, Sentuhan Wira juga mahu memberikan penghormatan kepada semua wira sukan tanah air.

Menurut Datuk Rashid Sidek, Sentuhan Wira bukan sekadar filem badminton, tetapi naskhah sinematik tentang perjuangan, kepercayaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

“Kami mahu anak muda hari ini merasai getaran semangat yang sama, dan meneruskannya,” ujar beliau yang teruja dengan penerbitan Sentuhan Wira.

Perasaan tersebut turut dirasai Datuk Soon Kit yang berharap filem ini dapat disiapkan lebih awal dengan persembahan cemerlang dan memuaskan hasil garapan Lenny yang juga rakan lama beliau.

Sentuhan Wira akan menerapkan gaya pengarahan aksi dengan penggunaan kamera kadar bingkai tinggi (high frame rate), sinematografi bergaya, serta penyuntingan padat dan bertenaga, bagi menyuntik kesan dramatik dan realisme kepada adegan perlawanan badminton di layar perak.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) disaksikan oleh YBhg. Dato’ Gerald Hans Isaac, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan YBhg. Tan Sri Datuk Richard Cham, Pengarah Victory Pictures di Grand Hyatt Kuala Lumpur .

Beberapa orang bekas pemain skuad Piala Thomas 1992 seperti Kwan Yoke Meng turut hadir memberikan sokongan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan kebanggaan negara.

Dalam usaha merealisasikan Sentuhan Wira, pihak produksi turut mengumumkan sesi Uji Bakat Terbuka di Seluruh Negara: Mencari Wira Badminton Generasi Baharu, bermula di Johor Bahru.

Menurut Lenny, pencarian akan dilakukan di tempat-tempat yang berkaitan dengan badminton, seperti akademi yang mencungkil dan mengasah bakat baharu.

Pasukan pengarahan juga akan mencari pelakon generasi muda yang benar-benar mencerminkan semangat era 90-an.

Tambah Lenny, proses pemilihan bukan sahaja menilai kemampuan lakonan, tetapi juga kemahiran bermain badminton, bagi memastikan babak perlawanan nampak tulen, dan meyakinkan di layar lebar.

“Yang lebih penting, setiap calon harus memiliki nilai-nilai seperti keberanian, disiplin, semangat berpasukan dan rasa cinta kepada negara. Inilah kunci kejayaan skuad 1992 yang akan diabadikan dalam filem ini,” ujarnya lagi.

Ini bukan sekadar penggambaran filem, tetapi satu usaha kebudayaan nasional, melibatkan seluruh rakyat. la adalah peluang kepada generasi muda untuk menyambung legasi perjuangan negara.

Sentuhan Wira dijangka memulakan penggambaran sepenuhnya pada penghujung 2025, dan persiapan kini sedang berjalan dengan penuh semangat. Tempoh penggambaran yang ditetapkan ialah 40 hari, jelas Lenny.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi