Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tourism Malaysia dengan rasa teruja mengumumkan sokongan rasminya terhadap filem cereka yang sangat dinanti-nantikan, Worth The Wait yang mempromosikan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menurut Tourism Malaysia, filem ini merupakan sebuah filem romantik komedi antarabangsa yang menampilkan keunikan landskap dan budaya Malaysia pada mata dunia.
“Majlis tayangan perdana karpet merah filem ini telah diadakan pada 4 Julai 2025 di Pawagam DADI di Pavilion, Kuala Lumpur yang berjaya menarik perhatian kira-kira 200 orang tetamu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tourism Malaysia berkata, acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran istimewa barisan pelakon dan pembikin filem yang datang dari Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan dan Singapura.
Tambahnya, Worth The Wait juga merupakan debut pengarah terkenal Taiwan, Tom Shu-Yu Lin dalam pengarahan filem berbahasa Inggeris.
Menurut Tourism Malaysia, sebahagian besar penggambaran filem ini dijalankan di lokasi terpilih di Malaysia yang memperlihatkan kekayaan budaya, alam semula jadi dan keramahan masyarakat tempatan, iaitu elemen yang terus menjadi tarikan utama pelancongan negara.
Katanya, filem ini juga merupakan usaha berterusan untuk mempromosikan perwakilan Asia di Amerika Utara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Datuk Manoharan Periasamy berkata, pihaknya berharap filem Worth The Wait akan memberikan inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk datang sendiri melawat dan meneroka Malaysia.
Tambah beliau, kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mengintegrasikan pelancongan dengan filem dan hiburan.
“Satu daripada objektif kami adalah untuk mempromosikan Malaysia melalui filem. Jadi, kami memang menggalakkan lebih banyak syarikat penerbitan filem antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran,” katanya.
Penerbit dan bekas Miss Malaysia, Puan Rachel Tan dalam kenyataan sama berkata, filem Worth The Wait bukan sekadar hiburan, tetapi juga refleksi tentang cinta dan harapan.
Beliau menjelaskan bahawa filem ini diadaptasi daripada kisah percintaan peribadinya sendiri yang bersemi melalui hubungan jarak jauh antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
“Saya ingin mencipta sesuatu yang meraikan identiti Asia sambil berbicara kepada penonton di seluruh dunia dan sambutan setakat ini sangat menggalakkan,” tambah beliau.
Menurut Tourism Malaysia, kerjasama ini menggariskan komitmennya dalam usaha menyokong industri kreatif yang mempromosikan budaya dan pelancongan Malaysia melalui penceritaan yang menarik dan media visual.
Katanya, kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada strategi nasional untuk melonjakkan sektor pelancongan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Tambahnya, filem berkenaan juga merupakan pencapaian penting bagi industri perfileman Malaysia, sebagai satu daripada beberapa filem romantik yang mencapai kejayaan di pawagam dan penstriman antarabangsa.
Katanya, Worth The Wait terbitan King Street Pictures bakal ditayangkan di pawagam di Malaysia pada Ogos ini dan akan diedarkan oleh Astro Shaw.