Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHulu Kelang – Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34) bakal mempertandingkan sebanyak 30 kategori anugerah termasuklah satu kategori baharu, iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, sebagai usaha memperluas pengiktirafan terhadap aspek penting dalam pembikinan filem yang semakin mencabar dan berdaya saing.
Kategori baharu ini diwujudkan sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian, kesungguhan dan profesionalisme para karyawan filem tanah air menjayakan adegan aksi yang mencabar secara selamat dan berkualiti. Hal ini juga mengambil kira perkembangan ketara dalam penerbitan filem aksi tempatan yang bukan sahaja menunjukkan peningkatan dari sudut teknikal, malah menawarkan nilai tontonan yang tinggi.
Pelancaran rasmi FFM34 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching menerusi satu sidang media yang berlangsung hari ini.
FFM34 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan berlangsung pada 8 November 2025 dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Festival berprestij ini merupakan inisiatif kerajaan bagi membina sebuah platform penganugerahan yang bukan sahaja memberikan pengiktirafan terhadap kecemerlangan seni dan teknikal dalam filem, bahkan juga berfungsi sebagai penggerak kepada pembangunan industri perfileman nasional yang lebih mantap dan berdaya saing.
Dengan tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, FFM34 mengangkat kepelbagaian gaya penceritaan dan keberanian untuk mengeksplorasi sempadan baharu seni visual, selaras dengan perkembangan teknologi serta realiti sosial masa ini.
Tema ini juga mencerminkan penghargaan terhadap kreativiti tanpa batas dan dinamisme dunia perfileman sebagai cerminan denyut nadi masyarakat moden.
Penganjuran FFM34 tidak hanya tertumpu pada malam anugerah semata-mata, sebaliknya FFM34 turut menjadi ruang untuk mengukuhkan jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pihak industri.
Program yang dijalankan sepanjang festival ini bertujuan mengangkat profesionalisme penggiat industri, memperkasakan budaya sinema dalam kalangan masyarakat serta menyediakan sistem sokongan yang ampuh terhadap perkembangan industri filem tanah air.
Sebanyak 30 kategori akan dipertandingkan pada FFM34. Kategori utama yang menjadi tumpuan termasuklah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
Selain itu, pengiktirafan turut diberikan kepada pelakon pembantu lelaki dan wanita terbaik, pelakon kanak-kanak terbaik, serta bakat baharu menerusi kategori Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Harapan dan Pelakon Wanita Harapan.
Dalam aspek teknikal, anugerah turut diberikan kepada kategori Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
Tidak ketinggalan, aspek estetika turut diberi perhatian menerusi kategori Tatarias/Solekan Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik serta Poster Terbaik.
FFM34 juga meraikan kepelbagaian genre dengan mempertandingkan kategori Filem Pendek Terbaik dan Dokumentari Terbaik. Pencapaian dari segi kutipan juga diiktiraf menerusi Anugerah Khas Filem Box Office.
Di samping itu, beberapa kategori khas turut disediakan bagi memberikan penghormatan kepada individu dan karya yang memberikan sumbangan besar kepada industri, termasuklah Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Sepanjang Zaman serta dua Anugerah Khas Juri.