Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Walaupun sejarah tekstil Melayu tidak begitu didokumentasikan dengan baik, warisan budayanya yang kaya terus mekar dan bertahan merentas zaman,” ujar mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Y.M. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Menurut beliau, keberlangsungan tekstil tradisional Melayu yang telah bertahan ratusan tahun ini merupakan hasil kepakaran dan penguasaan teknik tenunan yang kompleks, keindahan motif penuh makna yang bijaksana, padanan warna yang harmoni, serta nilai budaya dan adat yang terkandung di dalamnya.

“Tekstil dunia Melayu, khususnya di Semenanjung, telah berkembang dengan memanfaatkan teknik tenunan dari pelbagai bahagian Asia. Kepulauan dan Alam Melayu sudah mengenal erti globalisasi sebelum istilah itu dicipta,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM).

Jelas beliau, biarpun perdagangan maritim dan daratan memainkan peranan penting dalam evolusi tekstil, setiap wilayah telah membentuk gaya tekstil yang tersendiri, mencerminkan jati diri dan identiti unik masing-masing.

“Di sebalik pengaruh luar, warga Nusantara turut merancakkan integrasi serantau yang merupakan bentuk penghayatan silang budaya yang saling memperkaya warisan tekstil di rantau ini,” ujarnya.

Salah satu ciri paling menonjol dalam tekstil Melayu ialah pengaruh alam semula jadi. Alam, kata Zeti, telah menjadi sumber ilham utama penciptaan tekstil Melayu melalui bentuk, motif hingga pemilihan warna.

“Orang Melayu sejak dahulu amat mengagumi keagungan alam. Rasa hormat dan hubungan mendalam dengan alam melahirkan kepekaan halus yang mencetuskan inspirasi menghasilkan karya tekstil yang indah lagi mempesona,” katanya.

Beliau menambah, sebelum dunia berbicara tentang kelestarian alam sekitar, masyarakat Melayu telah lama sedar akan pentingnya memelihara dan menghargai alam. Hal ini jelas tercermin dalam motif hiasan yang diambil daripada flora dan fauna, pohon, daun, buah, rempah ratus, air, awan dan bintang di langit.

“Sensasi yang terbit daripada keindahan semula jadi ini serta emosi yang dizahirkan melalui pustaka dan perbendaharaan kata yang kaya dan puitis bagi menggambarkan motif serta warna, telah membentuk memori kolektif masyarakat. Memori inilah yang diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.

Zeti turut menyentuh peranan warna dalam tekstil Melayu. “Dalam bukunya, Tekstil dan Busana Melayu, tokoh budaya Allahyarhamah Azah Aziz mencatat lebih seratus warna yang pernah digunakan dalam tekstil tenunan Melayu kebanyakannya diperoleh daripada tumbuhan seperti akar, kulit kayu, biji, daun, bunga dan buah.”

“Orang Melayu amat menggemari warna merah. Hal ini terbukti apabila lebih 30 jenis warna merah direkodkan, daripada ton yang terang dan garang sehingga rona yang lembut. Di muzium dunia, kain tenun lama dari Alam Melayu kebanyakannya berwarna merah tua,” jelasnya.

Namun begitu, ujar Zeti, perubahan zaman ini membawa cabaran besar terhadap kelangsungan warisan ini.

“Urbanisasi pesat dan dominasi teknologi telah mengasingkan manusia daripada alam, manakala pokok dan tumbuhan yang dahulunya menjadi sumber inspirasi kini semakin pupus daripada persekitaran hidup kita.”

“Dengan urbanisasi dan pertumbuhan pesat di bandar, pohon-pohon digantikan konkrit. Alam yang menjadi sumber ilham tekstil kian hilang daripada pandangan,” katanya.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut memuji keberlangsungan sarung, sejenis pakaian yang kini diiktiraf antara yang tertua di dunia, dan masih dipakai secara meluas di rantau ini hingga hari ini.

“Pemakaian kain sarung bukan sekadar pakaian, tetapi cerminan identiti dan estetika. Di Semenanjung Malaysia, wujud istilah indah menggambarkan cara ikatan sarung seperti ikat ombak mengalun apabila digayakan bersama-sama dengan baju kurung, atau ikat berkuncup dan ikat reribu apabila berbusana kebaya,” kata beliau.

Pemakaian kain sarung, menurut Zeti, merupakan bukti nyata betapa alam terus meresapi bukan sahaja corak tekstil, malah cara kain itu digayakan. Justeru, beliau menyeru agar usaha memperkasakan pemakaian sarung, sama ada batik, songket, leka atau tenun, terus digiatkan.

“Dengan cabaran perubahan iklim dan persaingan fesyen moden Barat, warisan tekstil kita perlu dipertahankan untuk generasi akan datang, terutamanya melalui pendidikan agar masyarakat memahami dan menghargai tamadun dan warisan yang kita warisi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha memastikan kelestarian alam sekitar merupakan kunci terhadap kelangsungan inspirasi warisan tekstil tempatan. “Dengan penghijrahan penduduk ke bandar dan pembangunan pesat, alam hijau makin terhakis,  taman-taman hijau kini digantikan dengan binaan batu.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi