Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ketika hadir sebagai pembentang dalam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu–China Kelima (SATBBMV V) di Beijing Foreign Studies University, Haswida Abu Bakar telah mengembara ke senarai impiannya. 

Dalam “senarai impian” yang sekian lama tersimpan ialah untuk berada di Kota Larangan (Forbidden City), sebuah tapak warisan dunia yang menyimpan kisah kekuasaan dinasti Ming dan Qing. Akhirnya, impian itu menjadi kenyataan apabila saya hadir sebagai pembentang di Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu–China Kelima (SATBBMV V) di Beijing Foreign Studies University.

Menelusuri laluan luar tembok batu tinggi membuatkan jiwa dan akal saya dihanyutkan perasaan yang sukar digambarkan. Langit cerah Beijing yang disimbah cahaya matahari menjadi saksi langkah menuju ke arah gerbang utama, iaitu Pintu Haluan Tengah atau (Meridian Gate).

Kota yang dahulunya tertutup dan terlarang untuk rakyat jelata kini dibuka kepada umum sebagai muzium peradaban dan sejarah bangsa; Muzium Istana atau (Gugong Bowuyuan).

Di Kota Larangan, saya terasa seperti menembusi sempadan masa dan peradaban. Apa yang dahulu hanya dibaca kini sudah terbentang di depan mata. Nyata dan megah. Saya berdiri terpaku di tengah-tengah Kota Larangan.

Kota Larangan atau (Zijincheng) dalam bahasa asal yang membawa maksud Kota Ungu Larangan telah dibina ketika pemerintahan Maharaja Yongle (Zhu Di), maharaja ketiga Dinasti Ming. Kemudian menjadi kediaman rasmi kepada 24 orang maharaja: 14 dari Dinasti Ming dan 10 dari Dinasti Qing dari tahun 1420 hingga kejatuhan empayar pada tahun 1912.

Kota ini dibina dengan reka bentuk segi empat tepat yang meliputi hampir 720 000 meter persegi. Merangkumi lebih 980 buah bangunan dan 8700 buah bilik. Setiap inci ruang menyerlahkan manifestasi falsafah, spiritualisme dan seni bina klasik China.

Apabila saya melangkah masuk, kaki terasa terpaku pada lantai batu purba. Setiap inci permukaan menyimpan gema langkah ribuan pegawai istana, utusan asing dan para sarjana yang pernah melintasi ruang tersebut. Di depan muka terbentang satu dunia yang dahulunya hanya menjadi hak mutlak maharaja dan elit istana. Sebuah dunia yang terlarang buat rakyat jelata.

Kota Larangan terbahagi kepada dua bahagian utama: Halaman Luar (Outer Court) dan Halaman Dalam (Inner Court). Bahagian luar merupakan pusat upacara dan pentadbiran, manakala bahagian dalam menjadi ruang peribadi kediaman maharaja dan keluarganya.

Hall of Supreme Harmony tersergam angkuh di tengah-tengah halaman Kota Larangan. Tempat ini berfungsi sebagai tempat berlangsungnya pertabalan maharaja, sambutan Tahun Baru Cina dan pengisytiharan dasar kerajaan. Tempat ini juga menjadi simbol mutlak kekuasaan dan lambang kemuliaan Diraja. Saya terus terimbau pada kisah dalam The Last Emperor (1987).

Seterusnya, saya menyusuri bahagian Inner Court Kota Larangan, yakni ruangan peribadi Maharaja dan keluarganya. Dari Palace of Heavenly Purity, saya melangkah pula ke Hall of Union dan Palace of Earthly Tranquillity. Akhir sekali ke destinasi akhir: Imperial Garden atau Yuan Hua Yuan, tempat istirahat Diraja.

Yuan Hua Yuan merupakan sebuah taman yang dihiasi pohon hijau dan bunga, terletak di utara Kota Larangan. Taman Diraja tersebut dibina pada tahun 1417 semasa Dinasti Ming. Taman ini menjadi kawasan rekreasi dan rehat untuk keluarga Diraja khususnya maharani. Maharani, sebagai wanita tertinggi dalam hierarki istana memiliki akses istimewa ke taman ini.

Keseluruhan Kota Larangan ini dibina berlandaskan prinsip feng syui yang menekankan keseimbangan tenaga alam (chi) dan keharmonian antara manusia dengan semesta. Paksi utama Utara–Selatan menjadi asas susun atur Kota Larangan, di mana bangunan penting seperti Hall of Supreme Harmony dan Meridian Gate menghadap ke arah Selatan. Dalam kepercayaan feng syui, arah Selatan melambangkan cahaya, kemasyhuran dan kemakmuran; sementara Utara pula memberikan perlindungan.

Dengan membina bangunan utama yang menghadap Selatan dan membelakangi Utara, kota ini dipercayai dapat menyerap tenaga kosmik yang mengalir dari langit ke bumi.

Susun atur ini bukan sekadar estetika tetapi merupakan manifestasi spiritual dan politik. Memberi identifikasi penegasan tentang ketinggian dan “daulat” kedudukan maharaja. Maharaja bukan sekadar pemerintah duniawi tetapi juga berfungsi sebagai titik pusat atau paksi kosmik yang bersifat perantara antara langit dan bumi.

Dalam falsafah kosmologi China, maharaja dianggap pusat kepada alam semesta; maka susun atur Kota Larangan menempatkannya di tengah-tengah paksi alam dan titik keseimbangan ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi