Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDi Malaysia, siapakah yang tidak mengenali nama besar seperti Tun Perak dan Hang Tuah lima bersaudara?
Melaka, Negeri Bersejarah ‒ di negeri inilah lahirnya nama besar tersebut. Negeri ini juga memiliki peranan bersejarah melalui kegemilangan zaman kesultanannya yang begitu berpengaruh di rantau Nusantara dan Asia Tenggara sepanjang abad ke-14 dan ke-15 suatu ketika dahulu.
Melaka cukup terkenal dengan adat dan budayanya malah memperlihatkan keindahan hubungan kemasyarakatan penduduknya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Serani dan Chitty.
Bandaraya Melaka merupakan contoh bandar yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan, warisan serta tradisi Asia dan pengaruh Eropah. Maka itu, pada tahun 2008, Melaka diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Warisan Dunia.
Selain kaya dengan sejarah, warisan dan kebudayaan, Melaka juga tidak terkecuali daripada menjadi persinggahan pencinta makanan kerana santapan di negeri ini tidak kurang hebatnya dalam membangkitkan selera pengunjung.
Yang berikut merupakan antara hidangan popular yang wajib dirasai oleh pengunjung apabila datang ke Melaka.
Melaka begitu sinonim dengan masakan asam pedas. Hidangannya cukup sempurna dengan rempah ratus yang digunakan serta keasliannya. Pada kebiasaannya, hidangan asam pedas bukan sahaja disajikan untuk keluarga di rumah malah terdapat di restoran, kedai makan dan juga di hotel yang terkemuka di negeri ini.
Sebut sahaja Melaka, pengunjung cukup dekat dengan hasil lautnya yang segar. Oleh hal yang demikian, apabila datang ke Melaka, para pengunjung boleh mencuba sajian ikan bakar. Antara hidangan ikan bakar serta hasil laut yang terkenal di Melaka terletak di kawasan Ayer Molek. Selain terkenal dengan hasil lautnya yang segar, pengunjung juga berpeluang untuk memilih sendiri ikan, sotong, udang dan macam-macam lagi hasil laut mengikut pilihan mereka sendiri. Makanan yang disediakan sangat memenuhi cita rasa, ditambah dengan kesegaran serta kemanisan rasa hasil laut tersebut sehingga menaikkan lagi selera. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan dan perkhidmatan yang diberikan kepada para pengunjung amat baik.
Di Melaka, terdapat kawasan yang memberikan pengalaman buat pengunjung untuk merasai cendol yang berbeza daripada cendol biasa yang ada di tempat lain. Antara cendol yang istimewa di negeri ini terletak di kawasan Kampung Hulu, bersebelahan dengan Sungai Melaka, yang menyajikan berbagai-bagai jenis cendol. Antara menu yang wajib dicuba oleh para pengunjung ialah cendol mangga. Menu cendol yang disajikan adalah lain daripada yang lain kerana menggunakan aiskrim kelapa sebagai tarikan buat pelanggan.