Diterbitkan pada 10 Julai 2025, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan program lawatan bertemakan “Mansau-Ansau North Borneo Trail: Culture, Adventure and Nature” yang berlangsung dari 4 Jun 2025 hingga 8 Julai 2025 yang bertujuan mempromosikan kawasan utara Sabah sebagai hidden gem pelancongan yang kaya dengan khazanah alam semula jadi serta warisan budaya yang unik.

Menurut Tourism Malaysia, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap Kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dengan menumpukan daerah seperti Tamparuli, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.

“Lokasi ini menawarkan pengalaman pelancongan berteraskan alam semula jadi, kebudayaan dan pengembaraan yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh pelancong arus perdana, katanya dalam satu kenyataan.

“Mansau Ansau” yang berasal daripada Bahasa Kadazan Dusun dan bermaksud “jalan-jalan” telah menghimpunkan sebanyak sembilan peserta terdiri daripada wakil media tempatan, pempengaruh media sosial serta rakan industri pelancongan dari Kuala Lumpur, Sarawak dan Brunei.

Peserta program mengunjungi destinasi ikonik Sabah, iaitu Tip of Borneo di Kudat.

Katanya, antara sorotan utama program ini termasuk kunjungan ke destinasi ikonik seperti Tip of Borneo di Kudat dan Floating Coral Bar di Pitas.

“Peserta turut diberi peluang merasai sentuhan asli budaya setempat di Walai Tobilung melalui aktiviti seperti upacara bobolian, permainan alat muzik tradisional, persembahan tarian kebudayaan serta demonstrasi penyediaan juadah warisan yang diwarisi turun-temurun,” tambahnya.

Menurut Tourism Malaysia, lawatan ini kemudiannya diteruskan dengan kunjungan ke pusat kraf tangan komuniti seperti Sulaman Pis di Kudat, kraf kulit jagung (Corn Husk Craft) di Kota Marudu, serta Sulaman Serdang dan pembuatan parang di Kota Belud yang menonjolkan daya kreativiti dan kemahiran masyarakat setempat.

Tambahnya, pengalaman mendaki di Aura Montoria, Kota Belud menjadi satu daripada tarikan utama dalam program ini yang menawarkan laluan pendakian mencabar dan dianggap sebagai antara lokasi pendakian terbaik di Sabah.

Di Kampung Sangkir, Kota Belud, katanya, peserta diberi peluang untuk menikmati suasana kampung melalui aktiviti berbasikal yang dikelilingi panorama sawah padi yang menghijau.

Di Tembara River Cruise, Tuaran pula, peserta program melengkapkan eksplorasi kali ini dengan pelayaran menyusuri sungai bagi menyaksikan matahari terbenam dan kelip-kelip yang memukau, satu daripada tarikan istimewa pada waktu malam.

Menurut Tourism Malaysia, program ini turut merangkumi inisiatif pembangunan pelancongan luar bandar yang menitikberatkan pelibatan komuniti setempat serta pemeliharaan alam semula jadi yang digerakkan oleh penggiat industri tempatan.

Peserta dapat melihat demonstrasi kraf sulaman pis Kampung Lampozou di Matunggong.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar dalam kenyataan sama berkata, program ini selari dengan usaha Tourism Malaysia untuk memperluas promosi pelancongan negeri Sabah melalui kepelbagaian produk khususnya di kawasan yang kurang diterokai.

“Program ini juga merupakan salah satu strategi mendekati khalayak digital, dengan pengamal media berperanan penting untuk mengetengahkan produk pelancongan menerusi pendekatan penceritaan atau travel storytelling yang mampu memberikan impak besar dalam ekosistem promosi pelancongan era digital masa ini,” tambah beliau.

Tourism Malaysia amat menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak untuk memperkenalkan destinasi pelancongan unik di Sabah khususnya di kawasan luar bandar dan akan terus memperkukuh jalinan strategik ini bagi memastikan kejayaan pelaksanaan TMM2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi