Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Gerik – “Dala merupakan sejenis pokok bunga yang tumbuh di sepanjang pesisir Sungai Dala. Bunga ini sering kali dijadikan cucuk sanggul atau hiasan kepala kaum wanita pada zaman dahulu.”
Demikian antara sebahagian kisah yang disampaikan oleh Tok Batin Kasim Itam daripada suku kaum Temiar ketika ditanya oleh kumpulan penyelidik Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Selain kisah tersebut, kumpulan penyelidik juga berjaya merakamkan beberapa buah cerita rakyat suku kaum Temiar yang kebanyakannya dipertuturkan oleh ibu bapa kepada anak mereka yang bertujuan memberikan peringatan untuk menjalani kehidupan seharian.

Sebagai contoh, kisah dua beradik yang bertelagah dan akhirnya disumpah menjadi dua buah gunung. Selain itu, cerita rakyat yang diperoleh termasuklah tentang cenal, cheplew dan karwok yang bermaksud pelanduk, helang dan kura-kura dalam bahasa Temiar.
Ketua Penyelidik, iaitu Saifullizan Yahaya berkata kegiatan penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli ini diteruskan bagi membantu usaha memperbanyak karya sastera etnik.

“Pihak DBP telah menjalankan projek penyelidikan ini sejak tahun 2013 dan berhasil merakamkan cerita rakyat Orang Asli suku kaum Bateq, Jahai, Semoq Beri, Kensiu dan lain-lain sebelum meneruskan pengumpulan cerita rakyat suku kaum Temiar bagi tahun ini.”
Tambah beliau, cerita yang dikumpulkan tersebut akan diterbitkan dalam bentuk bahan bacaan untuk disebar luas kepada masyarakat terutamanya pelajar sekolah.
Cerita rakyat Orang Asli ini bukan sekadar dijadikan hiburan untuk anak-anak, malah mengandungi nilai budaya, kepercayaan, adat dan pengajaran yang penting untuk dijadikan pedoman bagi generasi muda.
Terdahulu, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Saifullizan Yahaya, Fathenwan Mohd Nor, Intan Nur-Izzati Shabri, Zaidi Saad dan Ahmad Safri Abdul Rani telah berangkat ke perkampungan Orang Asli Sungai Sarok, Sungai Melela dan Sungai Untong untuk mengumpul dan mendokumentasikan cerita rakyat Orang Asli suku kaum Temiar.
Turut sama ialah pengurus Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) RPS Dala.
