Diterbitkan pada 20 Julai 2025, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Buat pertama kalinya acara Temu Pasor akan diadakan di PBI, pada 25 hingga 27 Julai 2025, yang menerapkan pembinaan komuniti melalui teater, zine dan pembacaan puisi.

Dianjurkan oleh Persatuan Peniaga Kreatif Pasar Besar Ipoh (Super Kinties and Friends), Temu Pasor menggabungkan Zombi Serang Pasor, Ipoh International Zine Fest 2025, dan Tiba-tiba, Puisi!.

Zombi Serang Pasor merupakan satu daripada francais teater pop interaktif dan projek pembangunan komuniti, karya dan arahan Cech Adrea yang membawa kisah suasana serangan zombi.

Dalam teater tersebut, manusia terperangkap dan perlu mencari tempat persembunyian. Francais teater interaktif separa naturalisme ini sering mendapat pujian – di mana serangan zombi akan disesuaikan mengikut tempat, budaya, bahasa serta komuniti yang berada di lokasi pilihan teater tersebut. Para penonton juga akan dilibatkan secara langsung dengan pementasan teater.

Sebelum pementasannya, beberapa siri bengkel teater dan pembinaan keyakinan diri juga akan dilaksanakan dengan kerjasama para pelajar dari Kelab Teater Kolej Vokasional Lebuh Cator.

Seterusnya program Ipoh International Zine Fest 2025 pula kesinambungan dari Ipoh Mini Zine Fest 2023, yang berlangsung di Ah Mat Kafe, Ipoh.

Zine merupakan medium ekspresi seni yang mula menjadi trend dalam kalangan penggiat seni baharu dan lama, di mana mampu menjadi dokumentasi budaya serta memperkenalkan seni baharu kepada peminatnya.

Beberapa orang ahli panel jemputan luar negara yang aktif membuat zine di pasar masing-masing juga akan diundang mengongsikan pengalaman mereka, seperti Kia dan Dinda dari Berkawan Sekebun (Bandung, Indonesia), Kristine Buenavista (Iloilo, Filipina), Mariah Reodica (Manila, Filipina), serta Ruang Kaeokamechun, dan Phatcharacom Noppacoh (Thailand).

Selain perbincangan ahli panel, turut diadakan Jalan-jalan Pasar, bengkel berkenaan zine serta peluncuran beberapa zine baharu daripada penggiat zine Ipoh.

Jemputan dari kalangan anak seni tempatan yang terkenal dengan hasil seni mereka seperti Sharon Chin, artis seni persembahan dan seni cetak serta Zedeck Siew, artis seni cetak dan penulisan dari Port Dickson, bersama-sama zine dari Johor akan berkongsi perkembangan kegiatan seni di Johor.

Amirul Hakim Jamil dari Pasar Awam Kluang yang kian rancak dengan rancangan pembuatan tempat, dan menghidupkan kembali pasar tersebut turut diundang.

Amir Muhammad dari Buku Fixi dan Matahari Books juga akan tampil dengan sesi Ipoh dari Sudut Pandang PUNAH (1967) by A.R. Kamaludin.

Sementara itu, Tiba-tiba, Puisi! pula merupakan acara berpuisi secara spontan di beberapa buah lokasi terpilih di PBI. Kehadiran pemuisi muda di Ipoh beberapa tahun kebelakangan ini, puisi dengan citra Ipoh semakin mekar dan berjaya mengangkat nama Ipoh di luar negeri dan juga negara.

Pemuisi dapat memperkenalkan keindahan dan keunikan PBI melalui seni persembahan dengan menghasilkan karya puisi baharu bertemakan kehidupan seharian di pasar.

Penumpuan acara ini adalah untuk mendokumentasikan kebolehan membuat persembahan di ruang awam, dalam bentuk dokumentari mini dan juga zine yang mengandungi puisi khas untuk Tiba-tiba, Puisi!

Sasaran khalayak untuk Temu Pasor umumnya adalah penduduk tempatan Ipoh, iaitu golongan dewasa dan warga emas yang biasa mengunjungi PBI, dan keluarga tempatan yang mahukan aktiviti hujung minggu.

Lantaran melibatkan jemputan dari luar negara, Temu Pasor akan dapat menarik penyertaan pelancong domestik, dan antarabangsa.

Program ini dijangka dapat menarik lebih banyak pengunjung ke PBI, terutamanya di Aras B dan C yang menempatkan perniagaan kreatif seperti kraf tangan, jahitan dan buku. PBI bukan sahaja terkenal dengan jualan keperluan makanan seharian, tetapi juga dapat menjadi hab untuk komuniti seni setempat di Ipoh.

Pada tahun imi, Temu Pasor mendapat sokongan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Negeri Perak dan ditaja oleh Prima Plus Coffee, OT Cetak, Buku Fixi, Cikgu Rashidi Kharis dan bekerjasama dengan Kelab Teater Kolej Vokasional Lebuh Cator, Ipoh serta dana awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi