Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia sekali lagi mencipta sejarah di pentas dunia apabila Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) secara rasmi disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pengumuman ini dibuat semasa Mesyuarat Ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia di Ibu Pejabat UNESCO, Paris.

Pencapaian ini menandakan kejayaan keenam Malaysia dalam mendapatkan pengiktirafan Warisan Dunia UNESCO. Sebelum ini, negara telah berjaya menyenaraikan Taman Kinabalu, Taman Negara Gunung Mulu, Bandar Bersejarah Melaka dan George Town, Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, dan Kompleks Gua Taman Negara Niah.

FRIM FPS diiktiraf atas usaha luar biasa dalam pemulihan ekosistem hutan tropika melalui penanaman semula di kawasan bekas lombong bijih timah. Tapak tersebut kini memiliki ciri-ciri hutan hujan tropika semula jadi lengkap dengan kepelbagaian spesies dan biodiversiti yang tinggi, menjadikannya penanda aras antarabangsa dalam pemuliharaan alam.

Pengiktirafan ini merupakan hasil kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan bahawa pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat martabat negara tetapi juga diyakini akan meningkatkan tarikan pelancong ke FRIM FPS, dan turut menyokong agenda Tahun Melawat Selangor 2025 dan Visit Malaysia 2026.

Kejayaan ini membuktikan komitmen Malaysia terhadap prinsip kelestarian dan semangat Malaysia MADANI, sekali gus memelihara warisan negara demi generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi