Diterbitkan pada 25 Julai 2025, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Sejarah budaya luar biasa terpahat apabila Festival Bulan Mengambang: Wayang Golek Santri berlangsung dengan penuh meriah di Keraton Mbah Anang, Kampung Parit Bugis, baru-baru ini.

Acara yang mempertemukan dua bangsa serumpun Malaysia dan Indonesia ini bukan sahaja menampilkan keindahan seni warisan Jawa tetapi turut membuktikan kekuatan budaya sebagai jambatan persaudaraan Nusantara.

Melalui kerjasama erat antara Persatuan Jawa Parit Bugis Muar (PEJAWA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan sokongan KJRI Johor Bahru, festival ini menampilkan persembahan istimewa dari maestro wayang golek santri Indonesia, Ki Dalang Haryo Susilo Enthus Susmono dan kumpulan Putra Satya Laras dari Tegal, Jawa Tengah.

Ketua Majelis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI), YB Bapak H. Ahmad Muzani, yang hadir selaku tetamu kehormat, menyampaikan penghargaan yang tinggi atas usaha bersama ini:

“Wayang bukan hanya tradisi tetapi mengingatkan kita kepada nilai luhur yang diwariskan oleh para leluhur. Pertunjukan ini adalah bahagian dari upaya untuk mempereratkan hubungan ukhwah antara bangsa Indonesia dan negara Malaysia.”

Beliau turut menekankan pentingnya budaya sebagai ikatan kekal yang menyatukan dua negara jiran. Beliau juga mengajak warga keturunan Jawa di Malaysia untuk terus menghargai dan melestarikan warisan seni wayang yang menjadi sebahagian daripada identiti bangsa.

Rektor ASWARA, Profesor Dr. Tan Awang Besar yang turut menyampaikan ucapan, menzahirkan rasa bangga atas keterlibatan ASWARA dalam acara tersebut:

“Wayang Golek Santri adalah manifestasi seni yang bukan sahaja mengangkat warisan Indonesia, malah merangkul nilai-nilai Islam, nilai moral dan kemanusiaan yang sangat relevan dengan jiwa masyarakat kita hari ini. Saya percaya dengan adanya ruang ini, anak-anak muda akan terus terpanggil untuk menghargai dan memelihara seni budaya kita. ASWARA bersedia membantu memastikan kerjasama ini dapat diteruskan.”

Beliau menyatakan bahawa ASWARA sentiasa bersedia menjadi jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia melalui program-program seni yang merentasi sempadan. Menerusi pementasan kali ini, ASWARA turut mempersembahkan tari inai, dikir barat, dan beberapa persembahan sokongan sebagai simbol perpaduan seni serantau.

Wakil KJRI Johor, Bapak Sigit Suryantoro Widiyanto dalam ucapannya mengungkap makna mendalam terhadap pertunjukan ini sebagai penyembuh kerinduan:

“Wayang santri ini bukan sekadar hiburan malah menjadi jambatan budaya yang mengumpulkan bukan hanya dua negara, tapi dua hati yang sebenarnya bersaudara.”

Beliau juga mengaitkan pertunjukan ini dengan sejarah panjang hubungan Malaysia-Indonesia. Lebih daripada sekadar pertunjukan, wayang santri menjadi lambang kesatuan dan harapan untuk kelangsungan nilai luhur generasi mendatang.

Sebagai tuan rumah, Tuan Haji Johar Paimin, pengasas Keraton Mbah Anang dan PEJAWA, tampil dengan ucapan penuh rasa rendah hati dan impian yang besar. Beliau juga menyatakan hasrat untuk menjadikan Kampung Parit Bugis sebagai perkampungan budaya Jawa di Malaysia.

Festival ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan seperti Bapak Haji Danan Michaksono (MPR RI), Ibu Hajah Himmatul Aliyah (Wakil Ketua Komisi X DPR RI), Dr. Anwar Mohamad Saleh (UTHM), serta Dr. Azizi Yusof dari Muar Living Lab yang sentiasa menjadi penasihat kepada usaha budaya di Muar.

Malam itu bukan sekadar malam seni, tetapi malam pengisytiharan semula bahawa seni warisan sama ada dari bentuk persembahan wayang golek santri, muzik gamelan, dikir barat mahupun tari inai adalah nadi kepada jati diri bangsa.

Suasana Pementasan Wayang Santri di Keraton Mbah Anang.

Hal ini membuktikan bahawa warisan bukan milik masa lalu tetapi merupakan benih untuk generasi masa hadapan. Keraton Mbah Anang kini terus giat memperkasakan seni dan budaya dengan kerjasama pelbagai agensi, menjadikannya pusat budaya yang berpotensi sebagai rujukan warisan serantau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi