Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 23:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Masjid Wadi al-Husain di Kampung Teluk Manak merupakan sebuah masjid lama yang terletak dalam wilayah Narathiwat, Selatan Thailand. Kami memanggilnya dengan sebutan yang lebih mudah merujuk kepada tempat monumen bersejarah itu didirikan – Masjid Teluk Manak. Masjid ini antara masjid tertua, dibina kira-kira sekitar 400 tahun dahulu. Untuk melihat angkanya yang lebih tepat, kita teliti apa yang ditulis oleh Ahmad Fathy al-Fatani dalam Pengantar Sejarah Patani (Pustaka Darussalam, 1994) tentang tarikh sebenar masjid ini dibina.

Ahmad Fathy merujuk naskhah Taqwim Islam Tahun 1405 Hijriyyah yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Ugama Islam Wilayah Narathiwat. Dalam takwim tersebut dinyatakan masjid tersebut telah pun berusia sekitar 350 tahun. Pada tahun 2025 bersamaan dengan 1446 H, Masjid Wadi al-Husain di Teluk Manak telah pun berusia 391 tahun. Akan tetapi, Salleh Mohd. Akib dalam Masjid Tua Kampung Laut (Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 2003) menyatakan tarikh yang berbeza, iaitu berusia 401 tahun. Hal ini kerana beliau mengikut buku laporan ulang tahun 370 tahun Masjid Wadi al-Husain yang ada mencatatkan bahawa masjid tua di Teluk Manak itu dibina pada tahun 1624.

Penulis mengunjunginya tahun lalu bersama-sama rombongan Liga Penulis Kelantan  pada hari terakhir kembara dari Patani sebelum pulang menuju sempadan Malaysia – Thailand di Sungai Golok. Khazanah Islam dan monumen bersejarah ini tidak dicemari dengan unsur luar dan pemodenan kerana lokasinya di persekitaran masyarakat kampung serta kehidupan desa.

Masjid ini diasaskan oleh Wan Hussin atau Syed Hussin, iaitu merupakan seorang guru agama, ulama dan hafiz yang juga merupakan insan yang bertanggungjawab mengetuai pembukaan Kampung Teluk Manak. Kebanyakan muridnya menjadi ulama dan beliau juga merupakan datuk saudara kepada ulama terkenal, yakni Syeikh Daud al-Fatani.

Di bahagian kiri masjid terdapat sebuah anak sungai yang mengalir dari Bukit Budur. Airnya jernih dan tidak kering walaupun pada musim kemarau. Pemandangan indah ini menjadikan Masjid Wadi al-Husain seperti pulau yang dikelilingi air (wadi). Oleh kerana itulah nama masjid ini dikaitkan dengan perkataan “wadi” yang kemudiannya menjadikan masjid di Teluk Manak tersebut terkenal dengan nama Masjid Wadi al-Husain.

Masjid Wadi al-Husain pada asalnya memiliki 4 tiang dan menggunakan atap daun bertam. Kemudiannya ditukar kepada bata yang dibawa dari Senggora (Songkhla). Dinding papan berbentuk “janda berhias”. Bahagian atas pintu dan tingkap terdapat ukiran tembus berbentuk bunga empat kelopak yang disebut juga sebagai “kepala gajah”. Melalui lubang ukiran yang tembus itulah dijadikan sebagai tempat peredaran angin ke seluruh bahagian dalam masjid. Ada ukiran ayat al-Quran di bahagian atas pintu dan jendela.

Pada bahagian depan, di tingkat atas adanya tempat bilal mengalunkan azan dan juga sebagai tempat bersuluk. Di bawahnya ada mimbar untuk khatib menyampaikan khutbah. Kemudian telah didirikan bangunan tambahan di bahagian hadapan masjid bagi memenuhi keperluan anak mukim yang makin bertambah. Masjid ini tidak menggunakan paku, tapi menggunakan pemeting buluh dan kayu. Di bahagian barat masjid terletaknya rumah pegawai yang diperuntukkan kepada tuan guru, imam dan khatib. Di kawasan sekeliling masjid pula terdapat rumah kediaman anak mukim seolah kawasan pondok tradisi.

Masjid Teluk Manak mempunyai tujuh komponen yang diukir termasuklah mimbar, tunjuk langit, buah buton, sisir angin, dinding dan som. Melalui mata kasar ukiran tersebut seperti sama sahaja, namun sebenarnya berbeza apabila diteliti. Sifat sama tapi hakikatnya berbeza adalah satu daripada sifat yang terdapat pada karya seni rupa Melayu. Terdapat 18 buah buton bermotifkan bunga teratai yang setiap satunya berbeza mengikut keadaan sedang kuncup hingga mekar pada masjid ini.

Keseluruhan kerangka dan komponen bangunan daripada kayu cengal yang berkepadatan tinggi 560 – 720 kg/meter padu dan mampu menampung beban berat. Keindahan dan kehalusan seni ukiran masjid ialah hasil air tangan tukang ukir Patani pada masa lampau (Ismail & Ahmad Saifuddin, 2001). Nilai sejarah yang ada pada masjid ini, ditambah dengan keunikan dan keindahan seni binanya menjadikan Masjid Wadi al-Husain tidak putus-putus didatangi pengunjung.

Suasana sekitar masjid yang syahdu dan mengembalikan nostalgia lama buat kami yang berkunjung ke situ. Hal ini kerana dapat didengar dengan jelas dari atas masjid suara anak-anak mengaji al-Quran bersama-sama guru yang mengajar di bawah teduhan atap di tepi masjid. Kelas terbuka yang tidak berdinding begitu ditambah dengan hingar suara budak-budak mengaji di tengah cuaca panas tengah hari dalam kawasan perkampungan yang jauh dari hiruk-pikuk kenderaan lalu-lalang itu memang akan mendatangkan kesyahduan kepada sesiapa sahaja yang datang ke situ.

Penulis sendiri membayangkan seperti berada jauh pada masa silam merasakan sebagai penduduk asal kampung berkenaan; datang ke masjid kayu berjalan kaki, menyembah Tuhan dan beribadat dengan tenang serta pulang bersama jiran sambil berbual tentang kehidupan dan aktiviti harian. Sangat indah hidup pada masa lalu, di kampung. Kita rasa seperti mahu tinggal di situ dan hidup bersama-sama orang di sana kerana nostalgiknya kenangan zaman silam yang dirasai ketika mengunjungi masjid tua berkenaan.

Sebelum bergerak pulang, kami masuk ke kedai yang menjual cenderamata dan barangan tempatan terletak betul-betul di hadapan pintu pagar masjid. Untuk memudahkan pengunjung; duit baht Thailand dan ringgit Malaysia, kedua-duanya diterima di kedai tersebut. Penulis sendiri, Baba Zuharman dan Nik Hafiz membeli beberapa barangan termasuk pakaian dan cenderamata di kedai itu untuk dibawa pulang ke Malaysia sebagai buah tangan kerana melintas sempadan.

Penulis sempat mendengar urusan tawar menawar antara Nik Hafiz dengan tuan kedai. Kemudian melihat Haji Iznan menghadiahkan satu kopiah kepada Ustaz Shukri Alias, yang dibelinya di gerai jualan mak cik kampung terletak berdekatan kedai pakaian dan cenderamata tadi, betul-betul di jalan keluar berhadapan pintu pagar Masjid Wadi al-Husain. Mak cik yang berniaga kopiah itu usianya barangkali sudah lebih 65 tahun, atau mungkin sekitar 70-an menjelaskan bahawa perusahaan membuat kopiah yang dijualnya itu dilakukan sendiri oleh penduduk kampung. Bukan diambil dari tempat-tempat lain di luar kawasan.

Kami tidak punya masa yang panjang untuk berlama-lama di masjid tua itu. Rasa sangat sekejap. Rasa tidak cukup untuk melihat keseluruhan seni bina dan menghayati semuanya. Kalaulah ditakdirkan berkunjung ke wilayah selatan lagi pada masa hadapan, pasti akan berkunjung ke Masjid Wadi al-Husain. Masjid yang unik, indah dan bersejarah tersebut akan sentiasa menggamit kami untuk datang menziarahi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi