Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Program Bicara Tokoh Seni Budaya 2025 dengan tajuk “Seni Merentasi Disiplin: Transformasi dan Masa Depan” berlangsung di Auditorium Mahyuddin, Universiti Malaysia Terengganu menjadi platform intelektual menampilkan tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang untuk membicarakan peranan seni dan budaya dalam kehidupan.

Program  tersebut merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris berkata, bicara kali ini menampilkan tokoh dari luar bidang seni memberikan sudut pandang yang segar dan inovatif tentang bagaimana seni memberikan kesan terhadap sektor mereka serta masyarakat secara keseluruhan.

Menurut beliau, dalam era globalisasi dan pendigitalan, bidang seni persembahan kini merentasi pelbagai disiplin ilmu dan bidang profesional.

Seni dan budaya bukan sekadar bidang hiburan ataupun mengisi masa lapang tetapi merupakan sebahagian komponen dalam sektor kesihatan, pendidikan, ekonomi, teknologi dan pembentukan dasar awam.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa program ini menjadi platform strategik untuk menyemai kefahaman bahawa seni adalah milik semua lapisan masyarakat. Masa depan seni negara hanya akan cemerlang apabila diperkukuh melalui pemikiran rentas bidang yang melibatkan semua sektor penting dalam ekosistem negara.

Tambah beliau, dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan rakyat berbudaya, program seperti ini diharap memberi impak positif dalam meningkatkan visibiliti, kebolehcapaian dan penerokaan pasaran baru dalam industri seni, budaya dan warisan.

Terdahulu, program kali ini menampilkan tokoh rentas bidang terdiri daripada Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Prof. Ar. Hijjas Kasturi, Pengasas Hijjas Arkitek, Encik Suhail Mohamed, Tokoh Belia Negara 2015 dan Hazwan Haziq Rosebi, artis yang mempopularkan lagu asli atau lagu rakyat.

Menurut Tan Sri Dr. Noor Hisham, bidang seni luas meliputi juga kemahiran diplomasi dan berkomunikasi. Misalnya dalam kes menyampaikan fakta covid-19, mata dan gerak badan penting supaya pendengar yakin dan percaya apa yang disampaikan. Dalam bidang perubatan, pembedahan juga bukan sekadar kemahiran tetapi juga adalah seni.

Pembedahan yang berseni perlu bersih, tampak cantik dan kemas agar lekas baik kerana dalam 100 orang, 40 berisiko tinggi kehilangan nyawa.

Program ini dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu.

Katanya, program ini penting buat pelajar UMT selaku peneraju masa depan negara agar dapat menyelami khazanah budaya bangsa yang semakin hari semakin dilupakan.

Program ini bukan sahaja wadah perkongsian ilmu tetapi membuka ruang khususnya kepada generasi muda meneroka peluang kerjaya dalam ekosistem budaya peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Program tahunan JKKN ini dianjurkan sejak tahun 2013. Program ini mengangkat tokoh berpengaruh di Malaysia dalam membicarakan topik seni budaya dan memberi pendedahan mengenai langkah dan peluang kerjaya kepada pemain industri seni budaya khususnya pelajar dalam bidang seni.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi