Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Destinasi rekreasi keluarga Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar kini menampilkan pelbagai elemen menarik baru seperti pantai buatan, kawasan berpasir, jambatan kayu serta panorama alam semula jadi.
Pembaharuan tersebut menjadikan taman ini destinasi santai yang ideal untuk seisi keluarga dan pengunjung dari pelbagai lapisan terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.
Taman ini menampilkan keanggunan bunga-bunga kertas beraneka warna, diilhamkan dan dinamakan bersempena dengan nama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Taman ini bukan sahaja mencerminkan keindahan flora, malah menjadi simbol kasih sayang, kelembutan dan keprihatinan baginda terhadap alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
Majlis penjenamaam semula taman ini disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda dan Tuanku Raja Puan Muda disambut oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar), Affendi Rajini Kanth.
Tuanku Raja Muda bertitah, “Taman rekreasi memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan rakyat. Bukan sekadar ruang hijau, taman rekreasi merupakan satu kawasan riadah dan rekreasi serta tempat penyatuan komuniti, penggalak gaya hidup sihat dan penenang jiwa dalam dunia yang semakin mencabar ini.”
Baginda menambah, “Kebersihan dan keindahan taman perlu sentiasa dipelihara. Tanggungjawab ini bukan sahaja digalas oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar), sebagai agensi penyelenggara. Umat negeri ini diseru agar bersama-sama memelihara keindahan taman ini dengan tidak membuang sampah merata-rata, menjaga kemudahan awam serta menghormati hak, keharmonian dan ketenteraman bersama.”
“Beta juga berharap agar MPKangar terus memainkan peranan di dalam memperbanyak dan menambah baik taman awam sedia ada, serta mengoptimumkan potensinya seperti mana yang telah dilakukan di kawasan Gua Cenderawasih ini,” jelas baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian taman tersebut dan kemudiannya meninjau dan melawat Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen sambil diiringi oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.