Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam Siri Pertama, Haswida Abu Bakar telah ke https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2025/07/14/12739/ . Dalam Siri kedua, beliau meneruskan perjalanan impian meneroka Beijing dengan berkunjung ke Temple of Heaven.
Nuansa Mistikal :Langit Bertemu Bumi
Pertama kali nama Temple of Heaven atau Tiantan meniti di telinga apabila disebut oleh Jason, pemandu pelancong. Satu nama asing dalam gema spiritual dan mistikal. Sebagai individu yang berminat dengan sejarah Dinasti China, khususnya Yuan, Ming dan Qing yang sinonim dengan kemegahan seperti Forbidden City, The Great Wall of China dan Terracotta, jujur katakan belum pernah tahu tentang kewujudan Temple of Heaven yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1998.
Melangkah masuk ke kawasan ini bermula dengan melewati pintu gerbang batu kelabu yang kukuh berdiri. Lorong kecil terbentang sekitar lima minit perjalanan, dinaungi struktur bermotifkan geometri berwarna biru dan hijau zamrud. Ukiran ini jelas menghidupkan suasana ruang zaman silam.

Menurut Jason, Temple of Heaven berfungsi sebagai paksi perantaraan hubungan bumi dan langit yang dirujuk sebagai syurga. Setiap langkah yang diatur seiring dengan degup rasa ingin tahu yang kian mendalam tentang kisah tempat tersebut.
Temple of Heaven dibina pada tahun 1420 oleh Maharaja Yongle, Maharaja Dinasti Ming yang bertanggungjawab membina Kota Larangan. Struktur ruang kemudian diperluas dan dibaikpulih oleh maharaja dari Dinasti Qing, termasuk Maharaja Qianlong. Oleh itu, ruang ini menjadi sebuah ruang keagamaan yang lengkap dan teratur. Tempat tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian utama yang saling terhubung oleh laluan marmar panjang, iaitu Bridge of Vermilion Steps (Danbi Qiao), Hall of Prayer for Good Harvests (Qinian Dian), Imperial Vault of Heaven (Huangqiong Yu) dan Circular Mound Altar (Huanqiu Tan). Sungguhpun begitu, dalam penulisan kali ini hanya berfokus kepada Hall of Prayer for Good Harvests (Qinian Dian).
Hall of Prayer for Good Harvests
Mata terpaku pada sebuah struktur kayu berbentuk bulat yang menjulang setinggi tiga tingkat. Megah berdiri di atas pelantar marmar putih lapang dan berlapis. Seperti bumbung bersatu dengan langit biru. Hall of Prayer for Good Harvests (Qinian Dian) disifatkan sebagai jantung spiritual dan nadi kosmologi kepada ruang Temple of Heaven.
Dibina pada tahun 1420, struktur tersebut dibuat tanpa sebatang paku. Menggunakan teknik sambungan kayu tradisional yang sangat halus dan kompleks. Konsep seni bina ini memperlihatkan kepakaran tukang zaman silam. “Three levels represent Heaven, Emperor and Earth,” kata Jason dalam bahasa Inggeris berloghat Mandarin. Penulis yang baru sahaja mengenal Temple of Heaven semakin diasak rasa ingin tahu yang kuat.
Konsep reka bentuk bangunan bulat, didirikan di atas pelantar segi empat bertingkat tiga secara simbolik mewakili langit (bulatan) dan bumi (segi empat). Penyatuan dua bentuk ini berakar dari falsafah kosmologi China dimana langit itu bulat dan bumi itu segi empat. Hal ini memperlihatkan bagaimana pemahaman kosmos dipadukan dalam seni bina sebagai cerminan keseimbangan dan keharmonian antara unsur alam.
Jason menerangkan pada kami (9 orang semuanya) bahawa dalam falsafah kosmologi China, syurga diwakili oleh langit, maharaja mewakili manusia yang menjadi pengantara langit dan bumi, manakala bumi merangkumi segala elemen alam semula jadi seperti gunung, sungai, flora dan fauna. “Warna biru melambangkan langit, kuning untuk maharaja dan hijau mewakili bumi,” sambung Jason sambil menunjukkan ke arah bumbung struktur yang bersinar di bawah cahaya matahari petang.
Menurut cerita Jason, tempat tersebut merupakan pusat dan lokasi utama dalam upacara pertanian negara suatu ketika dulu. Diadakan setiap musim bunga. Maharaja sebagai wakil tertinggi manusia di bumi akan melakukan ritual, bertafakur dan memohon restu langit agar tanah China subur dan rakyatnya sejahtera.
Bumbung bangunan tersebut berwarna biru gelap yang secara khususnya melambangkan langit. Di dalam Temple of Heaven terdapat empat tiang utama yang mewakili musim, dua belas tiang tengah melambangkan bulan dalam setahun dan dua belas tiang luar untuk dua belas jam tradisional China. Struktur ini disokong oleh tiang naga elemen seni bina khas istana maharaja yang membangkitkan aura agung dan suci.
Kemudian, penulis tertarik pada dua ekor naga berwarna emas yang jelas terukir pada struktur bumbung: seekor bersayap dan seekor lagi tanpa sayap yang menghiasi alang bumbung. Maka penulis andaikan dari cerita Jason tadi, naga bersayap itu mungkin naga dari langit dan tidak bersayap itu mungkin berasal dari air seperti mana yang sering terlihat dalam drama bersiri.
Pandangan beralih tatkala terpandang pada gerombolan manusia berpusu-pusu berhimpun di depan pintu utama dewan. Pada awalnya penulis meminta suami merakam gambar dan video di dalam interior dewan. Namun begitu, penulis nekad menerobos dan menyelinap di celahan manusia dan akhirnya berjaya berdiri di muka pintu.
Pandang penulis disambut oleh suasana sakral yang dilambung keindahan seni bina yang di dominasikan warna merah. Pandangan tertumpu kepada empat tiang utama berwarna merah keemasan yang berdiri teguh di tengah ruang. Tiang tersebut melambangkan empat musim: musim bunga, panas, luruh dan sejuk. Malahan, tiang tersebut juga menyokong struktur utama bumbung yang berbentuk kon bertingkat tiga yang dilitupi jubin biru gelap bersinar apabila disinari cahaya matahari.
Mengelilingi tiang tengah terdapat dua belas tiang tengah dan dua belas tiang luar. Dua belas tiang tengah mewakili dua belas bulan dalam setahun, manakala dua belas tiang luar pula mewakili dua belas jam tradisional China. Menurut Jason apabila ditanya tentang fungsi dan makna tiang, beliau menjelaskan bahawa tiang tersebut membentuk suatu konsep penyatuan dan melambangkan dua puluh empat istilah solar dalam kalendar pertanian China ketika zaman dinasti Ming dulu. Oleh itu, sistem tersebut penting bagi masyarakat petani pada zaman itu untuk menentukan waktu menanam dan menuai.

Ketika berdiri dan melangut ke arah Hall of Prayer for Good Harvests, penulis sedar pertemuan tersebut bukan suatu kebetulan. Hadza Min Fadli Rabbi. Alhamdulillah. Menyedari hakikat ini, kunjungan ke sini membuka satu jendela ilmu baru dalam pemahaman penulis terhadap warisan spiritual dan kosmologi masyarakat Dinasti China. Struktur tiga tingkat yang mendukung dewan utama ini bukan sekadar keindahan seni bina, tetapi manifestasi falsafah alam, kuasa dan keseimbangan antara langit, manusia dan bumi.
___________________________________________________________
Haswida Abu Bakar ialah Dr. Ayu Haswida Abu Bakar, Pensyarah Kanan Program Filem, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM.