Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Filem aksi patriotik Legasi Bomba The Movie merupakan filem yang memartabatkan peranan anggota bomba sebagai barisan hadapan yang sering mempertaruhkan nyawa demi keselamatan rakyat.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), filem ini juga mengetengahkan kisah penuh inspirasi tentang pengorbanan, keberanian dan nilai kemanusiaan yang dipaparkan menerusi cabaran sebenar yang dihadapi oleh anggota bomba Malaysia.
“Penerbitan filem ini dijangka dapat memperluas apresiasi rakyat terhadap profesion bomba selain mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
KPKT percaya filem ini akan menjadi wadah penting untuk merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat melalui medium seni dan budaya popular.

KPKT menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menonton Legasi Bomba The Movie di pawagam berhampiran sebagai tanda sokongan terhadap anggota bomba yang sentiasa berkorban demi keselamatan negara.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming berkata, KPKT amat berbangga dengan penerbitan filem ini kerana bukan sahaja dapat mengangkat martabat JBPM sebagai benteng hadapan keselamatan rakyat, malah memberikan inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk lebih menghargai jasa wira yang tidak didendangkan ini.
Tambah beliau, filem ini juga menjadi medium untuk mendidik generasi muda tentang erti pengorbanan, keberanian dan amanah.
Menurut KPKT, Legasi Bomba The Movie diarahkan oleh dua orang pengarah berpengalaman, iaitu James Lee dan Frank See yang telah berjaya menggabungkan gaya penceritaan sinematik yang dramatik dan realistik untuk menghidupkan naskhah ini di layar perak.
“Flem ini diterbitkan oleh Multimedia Group dengan kerjasama dan sokongan padu daripada rakan strategik industri, iaitu Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, dan Six Fun Media,” maklumnya.
Katanya, Legasi Bomba The Movie mula ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh Malaysia bermula semalam dan dijangka menjadi antara filem aksi tempatan paling berpengaruh tahun ini.
KPKT berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming telah menghadiri Tayangan Gala Perdana Legasi Bomba The Movie sebagai kerjasama strategik antara industri kreatif tanah air dengan KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, Tayangan Gala Perdana ini telah berlangsung di Hall 10, GSC IOI City Mall, Putrajaya pada 19 Ogos 2025.
Turut hadir pada tayangan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad, barisan pengurusan tertinggi KPKT serta pegawai kanan dan anggota bomba.