Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selari dengan matlamat memperkasakan pelanggan dan masyarakat Malaysia, CIMB Bank Berhad (CIMB) mengumumkan komitmennya yang berterusan untuk memperkasakan bakat negara ini dalam bidang budaya dan seni, menerusi gerakan sosial, “Kita Bagi Jadi” (KBJ).

KBJ CIMB bertujuan menyemai dan memupuk semangat ketahanan, optimisme dan nilai positif dalam kalangan rakyat Malaysia masa kini.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-68, CIMB menjalinkan kerjasama dengan Sdr. Aman RA menerbitkan sebuah video muzik baharu, untuk lagu berjudul Bangun, Kita Bagi Jadi.

Pembikinan semula Bangun, ciptaan penyanyi rap terkenal negara kita itu yang merayakan semangat ketahanan dalam kalangan rakyat Malaysia, mencerminkan nilai-nilai kempen sekali gus menjadikan beliau rakan kerjasama terbaik untuk versi terbaharu lagu berkenaan.

Video muzik itu dihidupkan dengan gandingan unik antara Aman dengan pelumba basikal Olimpik negara, YBhg. Dato’ Azizulhasni Awang, di mana perjalanan peribadi mereka melambangkan daya tahan dan harapan.

Video itu menampilkan kisah bermakna rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat termasuk usahawan, artis muda dan pelajar yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran peribadi, dan menerima impak positif daripada pelbagai produk CIMB.

Semasa majlis “Kita Bagi Jadi” Budaya & Seni CIMB Art & Soul Bersama Media di The Gallery, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), YBrs. Encik Toni Darusman, Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB menjelaskan KBJ adalah ekspresi kreatif matlamat pihaknya, yang pada fasa pertama kempen menyaksikan kerjasama dengan jaguh sukan Malaysia seperti S. Sivasangari, Dato’ Azizulhasni dan terbaharu, Amer Harris untuk menyokong perjalanan mereka mencapai impian dalam arena sukan.

Muzik dan sukan telah lama menjadi ejen perpaduan dan sering menghimpunkan masyarakat untuk meraikan atau menyokong pasukan mereka. Kini, Bangun, Kita Bagi Jadi adalah gabungan terbaik Aman dan Dato’ Azizulhasni yang berbeza latar belakang, dan CIMB berharap lagu ini memberi peringatan kepada semua akan semangat “Kita Bagi Jadi” CIMB, tambah beliau.

Dalam majlis tersebut, Toni turut menjelaskan mengenai “CIMB Artober”, iaitu platform untuk budaya dan seni, yang telah berkembang menjadi platform perniagaan berdaya saing dalam landskap seni Malaysia.

“Inisiatif ini menyediakan artis serta usahawan tempatan dan serantau dengan platform untuk mempamerkan karya mereka, berhubung dengan khalayak yang lebih luas, serta memperkasakan ekonomi artis dan pereka tempatan, dengan lebih RM20 juta hasil jualan telah dijana memanfaatkan lebih 100 orang artis,” katanya.

YBrs. Encik Ismail Ani Arope, Ketua Kawasan Acara Korporat Kumpulan CIMB

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan “CIMB Artober” kepada ekonomi kreatif negara, tambah Toni, acara tahun ini telah diiktiraf sebagai program rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pertukaran budaya dan kreatif di rantau ini.

“CIMB Artober” kembali pada 26 hingga 28 September 2025 menampilkan lebih 20 buah galeri dari Malaysia dan serantau, mempamerkan karya lebih 100 orang artis. Salah satu tarikan tahun ini ialah pameran eksklusif melibatkan karya “tidak pernah ditayangkan umum” terpilih oleh seniman tersohor dan tokoh Melayu terbilang, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein,” jelas beliau.

Pendekatan holistik CIMB melalui inisiatif KBJ, tambahnya, mencerminkan komitmen bank tersebut dalam mencipta impak bermakna menjangkaui sektor perbankan, di bawah empat teras utama, iaitu Komuniti, Produk & Penyelesaian Mesra Pelanggan, Kerjasama Jenama, serta Budaya & Seni.

Di bawah KBJ Komuniti CIMB, CIMB telah mengumumkan komitmen bernilai RM200 juta dalam tempoh lima tahun akan datang (2026-2030) untuk membantu komuniti kurang mendapat sokongan, dan memupuk pertumbuhan inklusif untuk semua rakyat Malaysia, tanpa ada sesiapa yang tercicir.

“CIMB mahu berada di barisan harapan dalam membantu rakyat Malaysia merealisasikan potensi mereka, mengukuhkan kesejahteraan hidup, serta menyumbang kepada masyarakat yang lebih mampan, dan berdaya tahan.

Selain Toni, Aman dan Azizulhasni yang juga menjayakan Sesi Panel Budaya & Seni “Kita Bagi Jadi” CIMB, turut hadir YBrs. Encik Ismail Ani Arope, Ketua Kawasan Acara Korporat Kumpulan CIMB; YBrs. Encik Vin Lim, Pengasas Arteesan; YBrs. Puan Farah Liyana, Pengarah Urusan Toko; YM Tengku Marina Ibrahim, Pengasas Pink Jambu; YBrs. Puan Nini Marini Ramlan, Ketua Ruang Publik & Seni, Yayasan Hasanah; dan YBM Tuan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad aka Altimet, Ahli Dewan Undangan Lembah Jaya yang juga penyanyi rap terkenal negara.

YBrs. Encik Ismail Ani Arope (kiri sekali) memudahcarakan Sesi Panel Jiwa & Seni Artober CIMB yang dijayakan oleh YBrs. Encik Vin Lim, YBrs. Puan Farah Liyana, YM Tengku Marina Ibrahim, dan YBrs. Puan Nini Marini Ramlan.

Ismail juga memudahcarakan Sesi Panel Jiwa & Seni Artober CIMB yang dijayakan oleh Vin, Farah, Tengku Marina dan Nini Marini.

Sebelum itu, majlis tersebut dibuka oleh persembahan sketsa kumpulan Artease berjudul CIMB Kita Bagi Jadi Budaya & Seni: The Musical, yang diikuti Aman menampilkan Azizulhasni mendendangkan lagu Bangun, Kita Bagi Jadi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi