Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan –Persembahan Seni Persilatan anjuran Persatuan Seni Silat Kuantan (PerSILATan) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berlangsung meriah dengan semangat warisan bangsa dalam acara Pocket Show yang terbuka kepada umum di Kuantan City Garden, baru-baru ini.
Program bermula pada pukul 9.00 malam dan menarik ratusan pengunjung tempatan serta pelancong yang memenuhi ruang pentas terbuka yang terletak di tengah Bandaraya Kuantan.
Persembahan daripada enam perguruan silat tersohor di bawah naungan PerSILATan, iaitu Silat Gerak Lian, Rumpun KAPI Pahang, Silat Cekak Terlak Qhadirun, Silat Seri Menanti Citra, Silat Gayong Pendekar Lok 7 dan Silat Panglima Panji Alam telah menghidupkan suasana.
Setiap persembahan memperlihatkan keindahan seni gerak, kekuatan fizikal serta teknik pertarungan yang diwarisi turun-temurun. Penonton turut diberikan penerangan mengenai falsafah silat yang mengandungi nilai murni seperti disiplin, keberanian, hormat-menghormati dan kecintaan kepada tanah air.
Acara turut diserikan dengan pameran senjata tradisional Melayu seperti keris, tombak, dan pedang, selain koleksi tanjak pahlawan hasil kerja tangan Zol Tanjak yang menarik minat ramai pengunjung.
Selain daripada itu, turut di selitkan pengenalan buku bertajuk “Jejak Silat Menyusuri Sungai Pahang” kepada umum, sebagai usaha mendokumentasikan sejarah dan perkembangan seni silat di negeri ini.

Buku tersebut merupakan terbitan pertama seumpamanya di Pahang, hasil usaha kerjasama antara penulis utama Zulkefli Hussin atau juga dikenali sebagai Master Zulian selaku Pengerusi PerSILATan dan Ustaz Dr. Muhammad Azam Muhamad Akhir, Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad Shah (UMPSA).
Persembahan silat diketuai oleh Guru Nordin Jusoh dari Silat Seri Menanti dan Rumpun KAPI Pahang, manakala Master Zulian, turut membuat demonstrasi persilatan serta memberi penerangan kepada penonton tentang sejarah dan keunikan silat, keris serta tanjak Pahang.
Menurut Master Zulian, platform seperti Pocket Show merupakan ruang penting untuk membawa seni silat lebih dekat kepada masyarakat umum.
“Seni silat bukan sekadar gerak fizikal. Ia adalah warisan yang membawa nilai disiplin, keberanian, dan identiti bangsa. Program seperti ini memastikan generasi muda terus mengenali dan menghargainya, selain memberi ruang kepada masyarakat untuk mendekati silat dalam suasana terbuka dan mesra,” jelas beliau.
Acara berakhir dengan tepukan gemuruh dan maklum balas positif daripada penonton yang teruja dengan persembahan yang disifatkan bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyuntik semangat jati diri dan kebanggaan terhadap budaya sendiri.
