Diterbitkan pada 17 Ogos 2025, 22:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Produksi Ruang Menunggu dari SMK Sungai Isap Murni mencipta sejarah apabila membawa pulang enam anugerah usai dinobatkan sebagai juara Pertandingan Teater Sekolah Menengah Daerah Kuantan yang berlangsung di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, semalam.

Naskhah yang ditulis dan diarahkan oleh Syarifah Nordiana Maihan Syed Shaikh tersebut telah merangkul gelaran Juara, malah Anugerah Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik turut digondol oleh produksi Ruang Menunggu.

Dengan set serba putih, prop minimalis, serta pencahayaan dan bunyi yang menyentuh emosi, Ruang Menunggu berjaya memikat hati juri dan penonton sekali gus menjadi tumpuan sepanjang pertandingan.

Syarifah Nordiana Maihan Syed Shaikh menerima Anugerah Pengarah Terbaik daripada Puan Nurul Julia Alani Henri, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Kejayaan ini hadir dalam pertandingan yang menghimpunkan empat produksi pelajar sekolah menengah daerah Kuantan, iaitu produksi Hilang oleh SMK Gudang Rasau, produksi Mayang Sari: Di Bawah Lembayung Restu dan Cinta oleh SMK Seri Mahkota, Ruang Menunggu dari SMK Sungai Isap Murni dan Teja: Srikandi Melaka produksi dari SMK (P) Methodist Kuantan.

Produksi Teja: Srikandi Melaka tampil sebagai naib juara melalui skrip karya Salman M. Zaki  dan skrip tersebut telah dinobatkan sebagai Skrip Terbaik. Selain itu, Teja: Srikandi Melaka turut meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui watak Tengku Zubaidah yang dilakonkan dengan penuh berkesan oleh Aiza Afriena Zamzam dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi watak Tengku Salmah yang didukung oleh Azra Athirah Mohd Afandi.

Pengurus Produksi Teja: Srikandi Melaka, En. Ahmad Farihan Abdul Manan berkata walaupun gagal menjadi juara, persembahan tersebut menerima pujian langsung daripada Pengarah DBP Wilayah Tengah kerana berjaya menampilkan suasana balairong seri istana purbakala melalui busana dan prop yang indah.

SMK Seri Mahkota pula menamatkan saingan di tempat ketiga manakala SMK Gudang Rasau berpuas hati di tempat keempat.

Pertandingan anjuran Kelab Teater Rajuk Pahang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah serta JKKN Pahang ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Pementasan Teater Sekolah Menengah yang diadakan pada 24 Mei lalu.

Pertandingan tersebut juga turut mendapat sokongan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dan Majlis Kebudayaan Negara (Baharu) Pahang.

Presiden Kelab Teater Rajuk, Sdr. Abdullah Karim atau lebih dikenali sebagai AK Hidayat dalam ucapannya berkata pertandingan ini berjaya menjadi ruang pengembangan bakat, jati diri dan kecintaan terhadap seni budaya dalam kalangan generasi muda.

Seni teater mampu menyatukan intelek, emosi dan kreativiti serta menjadi wahana membina sahsiah, memperkukuh identiti bangsa dan memperluas horizon pemikiran.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri mengangkat usaha ini sebagai tanda sokongan terhadap pemartabatan bahasa, seni dan sastera.

Seni teater ialah cermin jiwa bangsa, menyulam bahasa, budaya dan budi. DBP komited untuk meneruskan pertandingan ini pada tahun depan dengan skala lebih besar di peringkat negeri, serta menawarkan ganjaran yang lebih menarik.

Pertandingan dinilai oleh tiga juri berpengalaman, iaitu En. Awang Abdullah selaku Ketua Juri, En. Ibrahim Ismail dan YBrs. En. Nik Azwadi Ambri yang juga pegawai JKKN Pahang.

Menurut En. Awang Abdullah, walaupun kesemua pasukan menunjukkan mutu persembahan baik, masih ada ruang untuk digilap. “Skrip asal hanyalah kertas, yang dijilid menjadi naskah. Tugas pengarah ialah menghidupkan naskhah itu di pentas agar lahir unsur kekaguman, iaitu sesuatu yang jarang ditemui dalam pementasan” katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiahtelah disempurnakan oleh Puan Nurul Julia Alani Henri dan turut diserikan dengan kehadiran Pengarah JKKN Pahang YBrs. En. Mohd Rizal Ismail serta YBrs. Sdr. Abdullah Karim.

Pertandingan ini bukan sahaja medan persaingan, tetapi juga membuktikan bahawa bakat pelajar sekolah mampu melahirkan karya yang matang, kreatif dan bernilai budaya tinggi.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi