Diterbitkan pada 5 September 2025, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tema Kasih Sayang menjadi teras pementasan Teater Cik Ros yang bakal dipersembahkan pada 19 hingga 21 September 2025 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Mengangkat kisah perjalanan hidup dan dedikasi Allahyarhamah Dr. Rosminah Tahir atau Cik Ros, teater ini dianjurkan oleh Abada Global Resources (AGR) dan CTRA Production dengan sokongan DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Persatuan Gerakan Anak Seni (GAS) serta Malaysia Gazette.

“Cabaran utama pementasan ini ialah kewangan dan logistik. Namun dengan sokongan DBP dan pelbagai pihak lain, usaha ini dapat direalisasikan. Pemilihan pelakon juga bukan sahaja kerana bakat, tetapi kerana hubungan peribadi mereka dengan Allahyarhamah, agar penghayatan lebih mendalam dapat dizahirkan di pentas,” kata penerbit Cik Ros, Siti Rohayah Atan, ketika ditemui pada sesi pengenalan produksi.

Pengarah Cik Ros, Hamzah Tahir berkata teater ini dihasilkan dengan konsep docuteater bagi mengangkat memori remaja, kenangan di kampung serta perjalanan seni Allahyarhamah Dr. Rosminah.

“Lebih daripada berkarya, Cik Ros mendidik. Teater ini mahu menyampaikan kepada penonton tentang perjalanan dan jiwa raga beliau dalam seni, yang lebih besar daripada sekadar pentas,” katanya.

Allahyarhamah Dr. Rosminah yang berbakti hampir lima dekad dalam dunia seni persembahan pernah mengarahkan pelbagai teater tersohor, antaranya Muzikal Tun Mahathir, Muzikal T. Pinkie, Muzikal Ibu Zain, Nyonya, Di Bawah Lindungan Kaabah, Mak Dara Nyonya, Kopi Pangku & Gaun Baju Melayu, Muzikal Li Po dan Dara & Makcik Bawang.

Dua buah lagu turut digubah khas bagi mengiringi pementasan ini. Lagu Ros yang Rupawan hasil ciptaan Asry Hasan dengan lirik oleh Ezlima Elias dinyanyikan oleh Faysal Scad, manakala lagu Di Sudut Hati ciptaan Faisal Fauzi dengan lirik oleh Siti Rohayah Atan sendiri akan dipersembahkan sebagai duet oleh Faysal Saad dan Sera Kamal.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Penasihat Kehormat Produksi Teater Cik Ros, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Dasar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), YBrs. Encik Rosnan Rahman; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; serta penerbit bersama Abada Global Resources, YBrs. Encik Mohamad Fauzan Mohamad Lazi.

Menurut pihak produksi, tiket Cik Ros ditawarkan sebagai sumbangan ikhlas dengan keutamaan kepada mereka yang mahu bersama-sama menyokong usaha memperingati tokoh seni negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi