Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemuco – Lenggong Geopark dan Sarawak Delta kini secara rasmi diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark yang ke-3 dan ke-4 di Malaysia, sekali gus menambah senarai pengiktirafan antarabangsa terhadap warisan geologi negara.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada 10th Session of UNESCO Global Geopark Council yang berlangsung dari 5 September 2025 hingga 6 September 2025 di Chile.
Proses pencalonan bagi kedua-dua tapak tersebut telah bermula sejak tahun 2023 dengan sokongan padu daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) serta Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris. Penilaian lapangan rasmi pula dilaksanakan oleh pakar penilai yang dilantik UNESCO dan turut disertai oleh SKUM pada Jun 2025 dan Julai 2025.
Kejayaan ini menandakan satu lagi pencapaian penting Malaysia bagi memartabatkan warisan taman geologi negara pada persada dunia. Pencapaian tersebut turut memperkukuh peranan komuniti setempat melalui pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan mampan berasaskan geopelancongan.
Dengan keluasan 3,112 kilometer persegi, Sarawak Delta Geopark menampilkan landskap dramatik, formasi batuan purba dan komuniti peribumi yang kaya dengan budaya. Beberapa ciri geologi di kawasan ini dianggarkan berusia lebih daripada 250 juta tahun hasil perubahan tektonik utama sejak zaman purba.
Sejarah panjang ini mengaitkan Sarawak dengan naratif geologi yang lebih luas merentas Asia Tenggara, Eropah dan pelbagai wilayah dunia lain. Usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan yang dijalankan mencerminkan aspirasi kerajaan untuk mengangkat nama Sarawak ke peta dunia.
Sementara itu, Lenggong Geopark yang meliputi kawasan seluas 2,068 kilometer persegi mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Lenggong Geopark menampilkan 27 produk geotapak, lapan biotapak, sembilan tapak geoarkeologi serta 18 tapak budaya dan sejarah.
Keunikan taman geologi ini diibaratkan sebagai permata pelancongan Malaysia yang belum digilap dengan ekosistem hutan di kawasan pergunungan granit dan perbukitan batu kapur yang masih terpelihara, sekali gus menyokong kelangsungan kepelbagaian biologi berskala mega.