Diterbitkan pada 17 September 2025, 10:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Bulan Pelancongan Islam 2025 (Islamic Tourism Month 2025) yang berlangsung dari 18 Ogos 2025 hingga 30 September 2025 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai satu daripada destinasi utama pelancongan mesra Muslim.

Dengan tema Serahkan Jiwa Mesra Muslim Malaysia, kempen ini dianjurkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkenalkan Malaysia sebagai satu daripada destinasi yang bukan sahaja indah dan berbudaya, malah menyediakan kemudahan mesra Muslim yang lengkap.

Malaysia sebelum ini diiktiraf sebagai destinasi nombor satu mesra Muslim dunia, hasil daripada jaringan restoran halal yang meluas, kemudahan surau dan masjid di lokasi yang strategik, serta pakej pelancongan berkonsep halal yang semakin berkembang.

Kemudahan ini menjadikan Malaysia pilihan utama bagi pelancong Muslim antarabangsa yang mencari keselesaan tanpa rasa ragu.

Sepanjang bulan penganjuran, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuklah festival makanan halal, pameran produk Muslim, tawaran promosi daripada pengusaha hotel dan agensi pelancongan, serta program ilmiah berkaitan dengan pelancongan Islam.

Usaha ini bukan sahaja memperkukuh imej Malaysia sebagai peneraju pelancongan Islam di rantau ASEAN, malah menyumbang kepada pemulihan ekonomi melalui sektor pelancongan.

Menurut ITC, penganjuran Bulan Pelancongan Islam 2025 selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai seperti inklusif, mesra budaya dan mampan. Hal ini juga diyakini mampu menarik lebih banyak pelancong antarabangsa, sekali gus memberikan impak positif terhadap industri pelancongan negara.

Dengan keindahan alam semula jadi, seni bina Islam yang mengagumkan, kepelbagaian budaya serta pengalaman membeli-belah mesra Muslim, Malaysia benar-benar mampu untuk menawarkan suasana dan pengalaman “seperti di rumah sendiri” kepada pelancong  dari seluruh dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi