Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Ahli panel program Bicara Propaganda “Suntikan Simbolisme & Makna (Apresiasi Filem Paloh, 2003)” menganggap Paloh antara filem terbaik yang pernah dihasilkan dan wajar dipertontonkan semula.
Program yang diadakan di The Biblio Press (Biblio), Menara Mutiara Majestic telah menampilkan Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi dan Prof. Madya Dr. Saiful Akram Che Cob sebagai ahli panel.
Memulakan program, Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi juga penulis Modul Pelatihan Propaganda mengatakan beberapa adegan terakhir filem tersebut amat ditunggu-tunggu.
“Babak akhir Paloh perlu ditonton dan seharusnya penonton perlu menghayati dengan tekun hingga tamat. Kita tak boleh beralih ke mana-mana. Jika terlepas walaupun seketika, kita akan kebingungan.”
Sebelum itu, beliau menjelaskan ada pelbagai kaedah propaganda, iaitu lisan, visual, muzik dan sebagainya.
“Filem merupakan kaedah propaganda yang terbaik kerana memaparkan kesemua perkara. Pada asalnya propaganda adalah perkataan yang baik, iaitu dakwah atau mengajak kebaikan hinggalah sampai satu masa, pengertiannya rosak dan berubah menjadi negatif. Orang yang mempropaganda bukan lagi pendakwah,” ujar Datuk Dr. Budiman.
Beliau melanjutkan lagi dengan menjelaskan bahawa propaganda dalam filem bertujuan meningkatkan citra, menyerang musuh atau mengelirukan umum.
Dalam konteks filem, ujar beliau, filem propaganda dihasilkan oleh penerbitnya kerana beberapa sebab tertentu.
“Jika mengawal persepsi dan ada perlambangan, itu merupakan filem propaganda. Dalam hal ini, pengulangan dan emosi memang sangat penting,” kata Datuk Dr. Budiman yang turut menyentuh filem sebelum Paloh, iaitu Embun.
Sebelum menutup bicaranya, beliau berharap filem Paloh perlu ditonton dan dikaji oleh orang ramai. Gaya kepengarahan Adman Salleh bukan sembarangan, apatah lagi filem tersebut mengangkat kepengarahannya dan menyebabkan beliau dipilih menerima anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17,” tegas Budiman.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Saiful Akram Che Cob, pula memuji skrip Paloh sebagai terbaik, meskipun ramai penonton mengatakan mereka tidak memahami jalan cerita kerana banyak imbas kembali.
“Zaman yang dipaparkan dalam Paloh adalah zaman kekacauan. Untuk memudahkan pembicaraan, saya menontonnya berkali-kali. Saya mendapati penulis skrip Paloh bijaksana. Beliau berjaya mewujudkan ketepersonaan,” ujar beliau.
Ada propaganda putih, kelabu, atau hitam, katanya lagi. Propaganda dalam Paloh, ujar beliau, disampaikan dengan amat berseni.
“Ciptaan imej semasa pendudukan dan pasca Jepun memang menarik. Penulis skrip memaparkan tebalnya sikap kekirian, tetapi wajar kerana keadaan zaman itu sendiri,” jelas Prof. Madya Dr. Saiful.
Selain itu, beliau menganggap penataan kostum amat tepat hingga meyakinkan. Lakonan Janet juga katanya, adalah yang terbaik sepanjang kerjaya sebagai pelakon, dan lagu tema, Tetap di Sini, nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut meruntun perasaan.
Untuk makluman, filem Paloh yang ditayangkan pada tahun 2003 telah menggondol enam anugerah di Festival Filem Malaysia ke-17 (2004), dan meraih satu anugerah di Anugerah Skrin 2005.
Paloh merupakan sebuah filem drama sejarah Malaysia, arahan Adman Salleh dan skripnya dihasilkan oleh Al Jafree Md. Yusop, terbitan bersama Filem Negara Malaysia (FNM), dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Filem yang dibintangi Janet Khoo, Namron, Zack Taipan, Gibran Agi, Ellie Suriati, dan Hasnul Rahmat.