Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Filem seram Khadam yang bakal diterbitkan oleh Red Communications (Red Comm), dan Komet Productions (Komet) merupakan sebuah filem yang berlatarbelakangkan Malaysia pada era 1950-an.
Filem seram yang mendebarkan ini menjanjikan gabungan kisah mistik Nusantara berserta penceritaan sinematik yang menyeramkan melalui watak yang penuh makna dan emosi.
“Saya berharap filem seram Khadam akan sentiasa dikenang oleh penonton. Saya tidak mahu penonton pulang begitu sahaja selepas menontonnya.”
Demikian menurut Fariza Azlina Isahak, penulis skrip dan lakon layar Khadam semasa pertemuan media khas baru-baru ini di Hotel lyf, Jalan Raja Chulan.
Beliau merupakan penulis prolifik di sebalik Kami The Movie (2008), dan Songlap (2011), dua buah filem yang diraikan kerana berjaya menangkap semangat zaman generasi mereka.
Kolaborasi rentas sempadan Khadam merangkumi barisan pelakon hebat yang diterajui oleh Aghniny Haque, ratu filem seram Indonesia dan Datuk Remy Ishak, idola layar Malaysi,a serta bintang yang meningkat naik, Siti Khadijah Halim.
Menurut pengasas Red Comm, Cik Lina Tan Suan Jeu, selepas menerbitkan filem seram dalam bahasa Cina, pihaknya berminat dan mahu mencuba penerbitan filem bercorak sedemikian dalam bahasa Melayu pula, apatah lagi berkolaborasi dengan penerbit hebat seperti Komet.
Komet merupakan sebuah syarikat produksi Asia Tenggara dengan rekod cemerlang (Penerbit Eksekutif bagi Blood Brothers Bara Naga, Ejen Ali The Movie 2, dan Seksa Kubur).
Projek ini telah berjaya menarik perhatian syarikat produksi antarabangsa dan pelabur luar, termasuk S Metropole (Hong Kong), dan Applause Entertainment (India).
Pelibatan mereka membuktikan permintaan tinggi terhadap filem genre Asia Tenggara yang berkualiti serta berakar dalam budaya tempatan.
Khadam mengisahkan tentang Melor, lakonan Aghniny yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya – pewarisan spiritual yang gelap dan mistik.
Apabila saka itu mulai menguasai hidupnya, Melor terdesak berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada mewarisi entiti hitam tersebut.
Khadam bukan hanya sebuah filem seram, malah sebuah penerokaan penuh emosi tentang cabaran keibuan, dan pilihan yang harus diambil oleh seorang wanita yang hidup dalam desakan dunia, berpaksikan mitos serta budaya Asia Tenggara. Kisah ini digarap halus dengan penceritaan yang seram dan mendebarkan.
Kerjasama antara dua buah syarikat produksi terkenal ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh industi perfileman tempatan dengan menghimpunkan sumber, bakat dan visi bagi mengangkat filem seram Malaysia ke pentas serantau.
Dengan penyertaan pelakon dari negara jiran, Khadam diharap dapat membuka peluang untuk menembusi pasaran penonton yang lebih luas di seluruh Asia Tenggara.
Khadam dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara dan pasaran serantau terpilih pada tahun 2026.