Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, Pusat Komuniti Kreatif Kuala Lumpur GMBB telah menganjurkan program Rentak MalaysiaKu untuk menghayati dan menyelami erti sebenar sejarah budaya Malaysia.
Program yang diadakan selama empat hari, iaitu dari 13 hingga 16 September 2025 ini mewarnai segenap ruangan Kompleks GMBB yang dihidupkan dengan alunan muzik tradisi, tarian, cerita rakyat dan sajian makanan tradisi di seluruh negara.
Rentak MalaysiaKu, yang digerakkan oleh komuniti pemain industri kreatif GMBB, menampilkan gambaran ringkas tentang Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya.

Diilhamkan daripada rentak kehidupan harian masyarakat, acara ini meraikan pelbagai kisah yang dekat di hati, dan juga yang sering terlepas pandang, yang pada hakikatnya membentuk identiti sebagai rakyat Malaysia.
Antara pengisian dalam program Rentak MalaysiaKu termasuklah acara “Jiwa Tradisi Bertemu Dunia Hari Ini” yang menghimpunkan tradisi dan budaya masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Para pengunjung berpeluang merasai alunan melodi Sape yang mengasyikkan oleh Anderson Kalang dalam Pameran Echoes of the Earth serta menghayati kehalusan sulaman manik tradisional menerusi Borneo Sparkle.

Dari Semenanjung Malaysia, kumpulan budaya Mah Meri, Tompoq Topoh yang terkenal dengan hubungan rapat alam dan ritual, bergabung bersama-sama Gerimis untuk menghasilkan instalasi seni bunga jering yang melambangkan tradisi dan transformasi.
Pengunjung berpeluang menyaksikan tarian suci Main Jo’oh, menyertai sesi perkongsian tentang Ari Muyang (Hari Leluhur) serta mencuba sendiri anyaman bunga moyang secara percuma. Turut ditampilkan aksesori manik Jelai hasil sentuhan artis Temuan, Leny Maknoh, yang berjaya membawa seni Orang Asli ke dalam dunia kreatif masa ini.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan seni wayang kulit Melayu yang berusia ratusan tahun diberikan nafas baharu melalui penceritaan kontemporari dan ikon budaya pop oleh Fusion Wayang Kulit, yang telah memenangi pelbagai anugerah.
“Menerusi Rentak MalaysiaKu, kami ingin mengangkat dan menghargai rentak kehidupan harian rakyat Malaysia bukan sahaja melalui muzik dan tarian, bahkan juga cara kita berinteraksi, menulis dan bertutur. Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa di sebalik perbezaan, wujud rentak bersama yang menyatukan kita dan membentuk keunikan sebagai rakyat Malaysia. Dengan membuka ruang kepada para seniman dan komuniti budaya untuk berkarya, kami berharap setiap pengunjung pulang dengan penemuan yang baharu,” kata Lim Ying Hui, Pengurus Besar GMBB.
Program ini turut diwarnai dengan pameran Kaligrafi Miniatur oleh Venerable Chi Chern yang menampilkan kehalusan seni dan ketelitian sapuan berus Cina dalam bentuk miniatur, memperlihatkan kedalaman budaya melalui perincian halus yang hanya dapat dinikmati melalui kanta pembesar. Sementara itu, Tokoh Opera Kantonis, Madam Kam Sin Kiew, pula menyuntik elemen dramatik menerusi persembahan duet.

Lebih menarik, pengunjung diberikan pengalaman menelusuri helaian akhbar dan artifak pada era 1900-an menerusi Seeds of Resistance oleh Raja Ahmad Aminullah, termasuklah paparan bingkai Perisytiharan Kemerdekaan Malaysia. Usaha ini mengimbas kembali karya-karya yang pernah membangkitkan semangat rakyat menuju kemerdekaan.
Dalam acara Seni, Cerita dan Imajinasi Bersama, ARTO Movement menampilkan pameran berkumpulan Di Bawah Langit Yang Sama yang menghimpunkan lebih 90 seniman dan penyair tempatan. Pameran kolektif ini mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian, menjadikan ruang GMBB sebagai laungan suara pelbagai komuniti dari seluruh negara.
GMBB menempatkan kedai buku bebas dan galeri unik yang mempamerkan seni wayang kulit dan budaya pribumi Malaysia, koloni studio artis bebas, dan banyak lagi dengan ekosistem seni dan budaya yang berkembang pesat di tengah-tengah Kuala Lumpur. Bengkel, pameran, persembahan dan pelbagai aktiviti lain merupakan sebahagian daripada usaha utama GMBB untuk memberi makna yang lebih mendalam, menghasilkan lebih banyak karya dan mempertemukan lebih ramai individu melalui seni kreatif dan budaya Malaysia.