Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Teater Lomo karya AK Hidayat atau Abdullah Karim telah menghidupkan semangat teater negeri Pahang apabila berjaya memikat hati penonton menerusi dua malam pementasan di Auditorium Sudirman, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang pada 19 dan 20 September lalu.
Teater Lomo arahan pengarah berpengalaman, HM Nordin Salleh dipentaskan hasil kerjasama antara Kelab Teater Rajuk Pahang dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, JKKN Pahang dan Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang (Baharu).
Mengangkat tema satira sosial, Lomo mengisahkan tentang akal licik seorang bomoh terkenal (Tokmoh) yang memenuhi pelbagai hajat pelanggan.
Ketaksuban terhadap kuasa ghaib akhirnya telah menyeret sekumpulan anak muda yang terjebak dalam cinta tiga segi, iaitu Adam dan Budin yang sama-sama menaruh hati kepada Sara untuk mencari bomoh tersebut.

Namun begitu, sikap mata keranjang Tokmoh telah membawa konflik lebih besar apabila beliau mengambil kesempatan terhadap Sara, Adam dan Budin.
Semua pelakon yang terlibat merupakan ahli Kelab Teater Rajuk Pahang yang terdiri daripada Bob Santan, Amirul Yuki, Solihin Khalil, Yana Arie, Along Hafeez, Along Syed, Syaahida Niswah dan Hans Manan.
Menurut Pengurus Produksi Lomo, Puan Nor Azah Abdul Jalil, persediaan pementasan berlangsung selama empat bulan, melibatkan 12 orang pelakon dan 15 orang tenaga produksi.
“Kami bermula daripada kosong, berlatih hampir setiap minggu selama empat bulan. Alhamdulillah, usaha dan komitmen seluruh pasukan akhirnya dibalas dengan sambutan hangat daripada penonton,” katanya.

Kehadiran penonton membuktikan sokongan padu terhadap seni teater, dengan hampir 200 orang penonton pada setiap sesi sepanjang dua malam pementasan.
Secara keseluruhan, Lomo bukan sahaja menghidupkan kembali semangat teater tempatan, malah membuktikan bahawa karya satira masih relevan dan mampu menjadi medium hiburan berisi pengajaran kepada masyarakat.