Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Filem Jagat (2015), bakal kembali ke layar perak selepas sedekad dengan tayangan semula di seluruh negara.
Tayangan edisi baharu ini akan bermula pada 3 Oktober tahun ini bakal menampilkan versi baharu yang ditambah baik (remastered) yang lebih padat dengan tempoh tayangan 120 minit, pembetulan warna serta bunyi 5.1 bagi memberikan pengalaman menonton yang lebih imersif.
Pengarah Sun-J Perumal berkata dalam sesi soal jawab bersama media semalam bahawa pelancaran semula ini bukan setakat tayangan ulangan, sebaliknya sebahagian dari projek yang lebih besar, iaitu Jagat Multiverse.
Projek ini merangkumi tiga filem, iaitu Jagat, Macai dan Blues yang saling berkaitan secara tematik dan spiritual, meneroka pelbagai kemungkinan hidup watak utamanya berdasarkan pilihan dan takdir berbeza.
“Jagat ialah permulaan kepada dua kemungkinan, Macai dan Blues pula membayangkan dunia alternatif sama ada watak utama bakal memilih laluan gelap ke arah gengsterisme dan jenayah atau laluan yang menyulam jiwa seni yang menginginkan kebebasan,” ujarnya.
Filem Jagat menyorot kehidupan Appoy, seorang kanak-kanak lelaki berketurunan India Malaysia berusia 12 tahun yang kreatif dan nakal tetapi bergelut antara harapan keluarga, kemiskinan dan pengaruh persekitaran.
Kisahnya berlatar Malaysia era 1990-an, ketika pemindahan komuniti India dari estet getah ke kawasan bandar mencetuskan kitaran kemiskinan dan cabaran sosial.

Dalam dua filem baharu yang bakal ditayangkan pada akhir tahun ini, Macai (drama jenayah berdurasi 1 jam 45 minit) membayangkan jiwa “Appoy” menerusi karakter Siam menuruni jalan gelap dunia dadah, manakala Blues (drama romantik satira berdurasi 1 jam 37 minit) memperlihatkan versi Appoy sebagai Karthi, seorang pelajar gigih yang menjadi pembikin filem.
Pelancaran semula Jagat diharap dapat menarik penonton baharu dan lama untuk kembali menyokong filem tempatan. “Kami mahu khalayak merasakan pengalaman filem yang sebenar, di pawagam, dengan skrin besar dan sistem audio yang sempurna,” tambah Sun-J.
Sejak ditayangkan pada 2015, Jagat telah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Filem Malaysia Terbaik dan Pengarah Baharu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28, selain memenangi anugerah utama di Kuala Lumpur Film Critics Council Awards.
Menurut Sun-J, pelancaran semula ini bukan sahaja meraikan legasi sebuah filem yang pernah menggegarkan landskap sinema Malaysia, malah membuka ruang kepada penonton untuk mentafsir semula tema sosial dan pilihan hidup yang terus relevan dengan masyarakat hari ini.