Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerak Darul Ridzuan merupakan antara negeri yang terbesar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Negeri ini bersempadan dengan lima buah negeri, iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Keluasan negeri Perak dibahagikan kepada 12 daerah. Satu daripada daerah yang terdapat di Perak ialah Manjung.
Dahulunya daerah Manjung dikenali sebagai Dinding. Daerah Manjung dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Manjung pada tahun 2001. Jika ke Manjung, pelancong hanya akan mengenali tiga tempat popular, iaitu Lumut, Teluk Batik, Pantai Remis dan Pulau Pangkor. Namun begitu, daerah Manjung juga mempunyai beberapa tempat yang menarik yang boleh dilawati oleh para pengunjung. Salah satunya ialah Pantai Teluk Senangin.
Pantai Teluk Senangin terletak kira-kira 25 km dari bandar Manjung dan kira-kira 94 km dari bandar raya Ipoh. Pantai ini terletak di sebalik bukit, dalam perjalanan untuk ke Segari dan Pantai Remis jika dari datang bandar Manjung. Kedudukan pantai ini yang terletak dalam kawasan teluk menjadi pilihan para pengunjung untuk berkelah pada hujung minggu selain daripada Pantai Teluk Batik.
Sepanjang pantai itu, turut didirikan pelbagai perkhidmatan chalet yang memudahkan orang ramai untuk bermalam di sini. Selain itu juga, pihak kerajaan tempatan turut menyediakan ruang perkhemahan kepada para pengunjung yang ingin berkhemah. Pengunjung tidak perlu khuatir untuk mencari makan pagi dan lewat malam kerana pelbagai kedai makan dibina di kawasan pantai itu. Oleh itu, pantai ini menjadi tempat peranginan yang sering dikunjungi oleh orang awam termasuklah pengunjung dari luar negeri Perak.
Selain Teluk Senangin, para pengunjung yang datang ke daerah Manjung juga perlu datang Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) yang terletak di Pasir Panjang, Segari. Pengunjung boleh ke pusat itu dari Teluk Senangin yang mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan. PKPP diuruskan oleh Cawangan Pengurusan Taman Laut dan Perlindungan Marin, Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia.

PKPP Segari dibina pada tahun 1990 sebagai pusat perlindungan kepada pendaratan penyu di kawasan Pasir Panjang. Pusat ini dibina bagi melindungi telur penyu yang terdedah dengan ancaman manusia dan juga haiwan pemangsa. Telur-telur penyu akan ditetaskan dalam satu ruang khas berpasir.
Anak penyu yang telah menetas akan dijaga di dalam sangkar menggunakan air laut. Hanya satu spesies saja penyu yang terdapati di pusat ini, iaitu penyu agar. Dua lagi spesies penyu, iaitu penyu lipas dan penyu karah turut terdapat di dalam pusat itu.
Kebanyakan pengunjung tidak mengetahui kewujudan PKPP kerana terletak agak jauh ke dalam dan tersorok. Pengunjung perlu melalui jalan tar yang menelusuri ladang kelapa sawit sebelum tiba di pusat ini. Bersebelahan dengan PKPP ini ialah sebuah pantai yang bersih dan memutih yang dapat dikunjungi oleh para pengunjung setelah puas menyaksikan gelagat penyu yang ditempatkan di dalam sangkar PKPP ini. Ada segelintir pengunjung yang mengambil kesempatan untuk memancing di kawasan pantai itu.
Bersebelahan dengan pusat itu juga ialah Balai Cerap Anak Bulan (Baitul Hilal) yang dibina dan diuruskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak bagi melihat anka bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah.
Selain PKPP Segari, terdapat beberapa PKPP lain yang dibuka di Semenanjung Malaysia seperti PKPP Padang Kemunting, Melaka, PKPP Cherating, Pahang dan yang paling terkenal sudah tentu PKPP Rantau Abang, Terengganu.
Kemudian, kira-kira 40 km dari pekan Pantai Remis, pengunjung boleh sebuah muzium yang memaparkan sejarah pembinaan kerajaan awal Perak, iaitu kerajaan Gangga Negara, Beruas dan Manjung di Muzium Beruas. Muzium yang terletak di tengah-tengah pekan Beruas ini wajar dikunjungi oleh semua pengunjung terutamanya peminat sejarah.
Muzium ini telah dirasmikan pada 8 Disember tahun 1998 oleh YAB Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak pada ketika itu. Muzium ini menempatkan pelbagai artifak kerajaan Gangga Negara, Beruas dan Manjung hasil dapatan arkeologi seperti tembikar, pinggan mangkuk dan lembing.

Kedua-dua kerajaan ini menjadi kerajaan Melayu tertua yang di pesisir pantai Perak. Kedua-duanya dikatakan telah wujud seawal abad ke-2 hingga ke-15 Masihi berdasarkan sumber-sumber bertulis yang wujud dari Yunani, China, India, Arab-Parsi dan Sulalatus Salatin. Peta Plotemy mengesahkan bahawa kerajaan Gangga Negara terletak di sekitar kawasan Kinta, Utara Dinding (Segari) dan kawasan Perak Tengah.
Kerajaan Beruas dikatakan wujud sezaman dengan kerajaan Manjung. Menurut R.O Winstead dan R.J. Wilkinson dalam jurnal Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society (MBRAS) yang bertajuk History of Perak, kerajaan Beruas dan Manjung dikatakan muncul selepas kejatuhan kerajaan Gangga Negara pada abad ke-11 Masihi. Tidak banyak sumber yang menyatakan tarikh sebenar kemunculan kedua-dua kerajaan itu.
Namun begitu, apa yang dapat dipastikan kemunculan kerajaan Beruas telah dipengaruhi oleh unsur Islam. Lokasi kerajaan Beruas difahamkan berada di sekitar kawasan Beruas termasuk Kampung Kota, Dendang dan Pintu Gerbang. Lokasi Kampung Manjung tidak dapat dipastikan dengan tepat tetapi dipercayai terletak di kawasan Segari dan Lumut.
Ternyata kunjungan ke daerah Manjung memberikan satu pengalaman yang menarik dari segi keindahan flora dan fauna serta dari sudut pengetahuan. Selain dapat merasai keseronokan beriadah, pengunjung juga dapat menjiwai secebis sejarah bangsa agar tidak luput ditelan zaman.