9 Jun 2022, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Tourism Malaysia dan syarikat penerbangan Firefly telah menjalinkan kerjasama melalui pelancaran pengiklanan badan pesawat serta kempen #GoJalanLah yang bermula dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Mei 2023 dalam usaha meningkatkan promosi pelancongan domestik.

Melalui kempen ini, bahagian hadapan badan pesawat Firefly dihiasi dengan logo Cuti-Cuti Malaysia bagi menggalakkan rakyat Malaysia  untuk melancong di pelbagai lokasi pelancongan menarik di dalam negara. Bukan itu sahaja, visual kreatif produk pelancongan menarik beserta logo sambutan ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia turut dipaparkan di dalam pesawat.

Pelancaran kempen tersebut yang berlangsung di Sky Park RAC Industrial Park Bukit Jelutong, Shah Alam pada 4 Jun 2022 yang lalu telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato’ Sri Nancy Shukri.

Sumber: Facebook MOTAC.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kerjasama pintar yang dijalinkan oleh kedua-dua pihak ini merupakan satu daripada inisiatif bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

“Saya amat mengalu-alukan usaha Firefly dalam melebarkan sayap penerbangannya dari Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak dan diharapkan langkah ini dapat menggalakkan lebih banyak penerbangan dua hala yang menghubungkan pergerakan rakyat antara Malaysia Timur dengan Semenanjung Malaysia khususnya dari wilayah utara,” katanya lagi.

Firefly juga menawarkan pelbagai pakej percutian dan tiket penerbangan menarik melalui kempen #GoJalanLah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly pula berkata, pihaknya bersedia untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam menyemarakkan pelancongan domestik khususnya dari segi penawaran tiket penerbangan pada kadar istimewa selain promosi menyeluruh di platform media sosial mereka.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan pihak kami berharap dapat memberikan lebih inspirasi dan pendedahan dalam mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan serta keunikan destinasi di dalam negara di samping menghubungkan para pelancong dengan budaya tempatan melalui pelancaran livery yang menggarapkan elemen Cuti-Cuti Malaysia,” tambahnya lagi.

Kempen #GoJalanLah menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35 peratus. Tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my hingga tarikh 30 Jun 2022 bagi tempoh perjalanan hingga 31 Disember 2022 ini. Di samping itu, orang ramai juga boleh menikmati tawaran hebat untuk pembelian tiket penerbangan pergi dan balik ke semua destinasi kendalian Firefly pada harga bermula RM188, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.