4 Disember 2022, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia telah menganjurkan Sambutan Hari Batik Malaysia 2022 yang disempurnakan oleh Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 3 Disember 2022.

Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC menyempurnakan Sambutan Hari Batik Malaysia 2022.

Sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2022 yang disambut pada 3 Disember setiap tahun, Kraftangan Malaysia telah melancarkan logo Batik Malaysia yang merupakan satu daripada inisiatif Kraftangan Malaysia bagi menonjolkan jenama dan keaslian produk batik Malaysia yang diusahakan oleh para usahawan tempatan.

Selain itu, majlis sambutan tersebut turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti eksplorasi kraf, ekspresi kraf batik, jualan produk kraf batik, pameran kraf, pameran Institut Kraf Negara (IKN) dan pelbagai jualan makanan dan minuman.

Lebih menarik lagi, majlis sambutan itu juga disemarakkan dengan aktiviti Acara Mewarna Batik Teramai di bawah aktiviti “Cakna Kraf” yang turut disenaraikan dalam Malaysian Book of Record dengan penyertaan seramai 2000 orang peserta daripada semua lapisan masyarakat yang diadakan serentak di Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri seluruh Malaysia dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC sedang menyampaikan ucapan.

Menurut Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, aktiviti ini memberi pendedahan dan kefahaman kepada para peserta berkaitan teknik, proses dan reka corak batik Malaysia.

“Bahkan, para peseta berpeluang mewarnakan reka corak batik mengikut kemahiran, kreativiti serta idea masing-masing dalam menghasilkan batik yang menarik dengan warna yang pelbagai. Tambahan lagi, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, industri batik memperlihatkan peningkatan jualan sebanyak 78 peratus,” ujar Datuk Saraya.

Di samping itu, pemilihan tanggal 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia merupakan lambang tanda penghormatan dan peringatan kepada sumbangan Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang memulakan gerakan Malaysian Batik Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa pada tarikh tersebut.

Pengisytiharan hari batik itu juga secara langsung dapat melahirkan lebih ramai usahawan dan komuniti kraf batik yang kreatif dan inovatif. Hal ini secara langsung dapat melonjakkan permintaan terhadap produk batik dan seterusnya meningkatkan pendapatan usahawan komuniti serta keseluruhan rantaian pengeluaran.

Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC mengunjungi pelbagai pameran berteraskan batik pada Sambutan Hari Batik Malaysia 2022.

MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia akan terus menyokong kempen-kempen produk kraf bagi membantu melonjakkan permintaan produk kraf serta membantu ekonomi usahawan dan pembangunan kraf negara.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusof; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Dato’ Haji Abdullah Haji Abd Rahman; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Ainu Sham Ramli dan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr. Tan Awang Besar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.