Oleh IZZAT ISA
11 Disember 2022, 22:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi Pada tanggal 10 Disember yang lalu telah berlangsung program Langkawi International Marble Art Camp 2022 (LAIN MACAM 2022) di Dikaki Tower House Gunung Raya, Langkawi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Balai Seni Negara (BSN).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC.

LAIN MACAM 2022 dimulakan dengan majlis perasmian program oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff. Turut hadir memeriahkan majlis perasmian ialah Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Encik Ameruddin Ahmad, Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPSVN, iaitu Encik Hazlan Abdul Aziz, Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa, Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin, Encik Iskandar Abdullah, barisan kepimpinan BSN dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Encik Ameruddin Ahmad, matlamat program ini adalah untuk mengumpulkan para pengkarya atau seniman arca di rantau Asia Tenggara untuk berkongsi ilmu dengan komuniti dan masyarakat setempat yang mempunyai minat yang sama.

“Di samping itu, para pengunjung dapat menimba ilmu tentang penghasilan arca dengan kemahiran dan cara-cara tertentu serta kaedah mengolah idea yang mungkin berbeza. Justeru, saya berharap agar program ini dapat membantu komuniti setempat menajamkan kemahiran mereka dan secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan mereka,” uajr Encik Ameruddin Ahmad.

Seniman arca sedang menghasilkan arca menggunakan batu pualam.

LAIN MACAM 2022 yang diadakan dari 2 hingga 15 Disember 2022 merupakan penganjuran kali ketiga yang mengaplikasikan konsep hari terbuka kepada pengunjung khususnya peminat karya-karya seni arca dan merupakan penjenamaan semula bagi program terdahulu yang dikenali sebagai International Marble Art Camp (IMAC).

Pada tahun ini, para pengarca dari serantau telah dijemput untuk mempamerkan bakat dalam penghasilan karya arca daripada batu pualam. Antaranya termasuklah Ella Wijt dari Indonesia, I Wayan Upadana (Indonesia), Korakot Sangnoy (Thailand), Jehabdulloh Jehsorhoh (Thailand), Lim Soo Ngee (Singapura), Ain Rahman (Malaysia), Japson Wong Vun Hueng (Malaysia), Bibi Chew (Malaysia) dan mereka dibantu oleh para artisan dari Langkawi.

LAIN MACAM 2022 dianjurkan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada para penduduk Langkawi dan pelancong dari dalam serta luar negara untuk melihat sendiri proses penghasilan arca daripada batu pualam. Yang menariknya, batu pualam yang digunakan dalam program ini berasal dari Pulau Langkawi.

Keunikan geografi Langkawi dimanfaatkan sepenuhnya dalam bentuk penghasilan karya seni. Bagi memeriahkan acara pada hari tersebut, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti demonstrasi pembuatan pakaian ikat celup oleh Mawart, demonstrasi cyanotype oleh Dikaki Sunprint Studio, permainan papan luncur oleh SB dan memanah oleh Wave Ways Archery.

Persembahan oleh kumpulan Laskar Seni.

Selain itu, terdapat pelbagai pameran dan jualan produk seni dan kraf yang diadakan oleh Hikari Riders, Ilham Ceramic, Muay Universal Studio, Kansha Life, Natty Langkawi, Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA), I-Mangroove, Dayang Lilin, rareBaqhang, RYO, Embun-Embun, YBN, Pallets, Sorensen, LADA, Datai Valley Langkawi serta Dread Factories Langkawi. Manakala pelbagai makanan dan minuman pula dijual oleh Koffeemilia Langkawi, Mawart, Gelat E Ria, Lis Cakery, Soyaraya, Indiana Langkawi, iRiedog dan Kolma Langkawi pada sepanjang tempoh LAIN MACAM 2022 berlangsung.

Kemuncak LAIN MACAM 2022 ialah persembahan pentas yang dibarisi oleh Rabbaniyyin Maulid Ensemble, Laskar Seni, Kicau-Bilau, Acca an Anaz, DJ Alakazam, Hadi dan Bob, Langkawi Dub Club, Lamhkaron, Iqbal, Aru x Jahvalion, Shaheth dan Noh Salleh.

Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu dan sesekali berlaku hujan lebat. Program ini turut mendapat sokongan penaja seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Cuti-cuti Malaysia, Galeria Perdana dan Kompleks Kraf Langkawi selain mendapat kerjasama daripada Dikaki Tower House, Tentuhala Collective, Hikari Riders, Sembilan Langkawi dan The Kasbah.

Poster LAIN MACAM 2022.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!