7 November 2022, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Majlis Malam Gala sempena Festival Kraf Tekstil Borneo (FKTB) 2022 yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 6 November 2022.

Majlis Malam Gala yang diadakan adalah bertujuan untuk mempromosi dan memartabatkan produk kraf tekstil dari negeri Sabah dan Sarawak yang mengetengahkan keunikan dan kehalusan hasil kerja tangan serta keindahan motif dan reka corak etnik yang mewakili pelbagai suku kaum di kedua-dua negeri tersebut.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi mewakili Menteri MOTAC, Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri menyampaikan ucapan pada majlis Malam Gala tersebut.

Menurut Datuk Hajah Saraya, MOTAC melalui Kraftangan Malaysia sentiasa mempergiatkan usahawan dan komuniti kraf untuk menghasilkan dan memasarkan produk kraf sehingga berjaya meningkatkan hasil jualan masing-masing.

Para tetamu kehormat bergambar bersama-sama sebahagian 48 koleksi pakaian yang diperagakan pada Majlis Malam Gala FKTB 2022.

Tambah beliau, negeri Sarawak mencatatkan nilai jualan kraf sebanyak RM14.9 juta sementara negeri Sabah pula mencatatkan nilai jualan kraf sebanyak RM15.8 juta setakat 30 September 2022 yang lalu.

“Nilai jualan kraf yang dijana bagi kedua-dua negeri ini menunjukkan pencapaian sebanyak RM30.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus untuk tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya, iaitu RM25.7 juta,” ujar Datuk Hajah Saraya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kraftangan Malaysia kerana berjaya merangkul enam anugerah bersempena The 6th International Craft Awards (ICA) 2022 di New Delhi, India anjuran Craft Village India pada 22 Oktober 2022 yang lalu. Bahkan, seorang penerima anugerah tersebut merupakan usahawan tekstil songket dari Kampung Gedong, Simunjan, iaitu Puan Ramtiniwaiti Ramlee yang menerima anugerah bagi kategori Craft Person of the Year.

Penganugerahan tersebut jelas menunjukkan peranan dan sumbangan yang digerakkan oleh pihak MOTAC dan Kraftangan Malaysia dalam melestarikan industri kraf agar semakin mapan dan berdaya saing.

Para tetamu kehormat mengunjungi reruai pameran Festival Kraf Tekstil Borneo (FKTB) 2022.

Peragaan fesyen pada Majlis Malam Gala menampilkan koleksi pereka Kraftangan Malaysia dan pereka fesyen dari negeri Sarawak, iaitu Ben Nazry. Sebanyak 48 koleksi pakaian siap dihasilkan daripada Batik Canting Eksklusif Flying Hornbil, Batik Blok Borneo, Tenunan Borneo serta Batik Linut sentuhan Ben Nazry.

Peragaan fesyen moden dan kontemporari daripada kraf tekstil tempatan ini menonjolkan keunikan dan keindahan motif serta reka corak etnik yang mewakili suku kaum kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak serta diharap dapat memenuhi permintaan dan cita rasa para pembeli.

FKTB 2022 yang berlangsung selama 10 hari melibatkan penyertaan seramai 120 orang usahawan kraf dari negeri Sarawak dan Sabah di samping menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan dan pameran produk kraf, pameran kempen “Ini Batik Malaysia”, pameran Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN), pameran MYCRAFTSHOPPE serta demonstrasi dan Interaktif Kraf.

Melalui penganjuran program sebegini, pihak MOTAC berharap dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia untuk membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu gaya hidup dan menyemarakkan semangat cintakan seni kraf warisan terutamanya dalam kalangan generasi muda negara kita.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.