6 Mac 2023, 21:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan program tahunan Hari Kraf Kebangsaan 2023 (HKK 2023) yang merupakan penganjuran kali ke-20 pada tahun ini. HKK 2023 berlangsung dari 1 hingga 13 Mac 2023, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Barisan tetamu kehormat yang hadir meluangkan masa melawat reruai-reruai dalam HKK 2023.

HKK 2023 mengangkat tema “Ini Kraf Malaysia” bagi menyuntik kesedaran dan kecintaan masyarakat serta menambah pengetahuan terhadap produk kraf keluaran tempatan. Manakala “Kraf Identiti Malaysia” pula dipilih sebagai konsep HKK 2023 pada tahun ini bagi mengetengahkan penghasilan produk kraf daripada pelbagai kaum.

Penganjuran HKK 2023 pada kali ini berjaya menghimpunkan seramai lebih 380 orang usahawan dan komuniti kraf dari seluruh Malaysia dengan pelbagai bidang seperti kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil logam, kraf hasil tanah dan aneka kraf bagi aktiviti jualan dan promosi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, MOTAC menyasarkan peningkatan jualan produk kraf sehingga RM16 juta sepanjang 13 hari program tersebut berlangsung.

“Industri kraf terus menunjukkan perkembangan yang positif dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan pascapandemik COVID-19 berdasarkan jualan produk kraf yang meningkat sehingga 44.4 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun 2021,” ujar YB Dato’ Sri Tiong King Sing sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian HKK 2023.

Beliau juga berharap agar jualan produk kraf pada tahun ini akan meningkat kepada satu nilai yang lebih besar bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Tambah beliau lagi, MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia juga akan memainkan peranan seiring dengan matlamat nasional Malaysia Madani bersandarkan aspek membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi.

“Dalam konteks industri kraf, usaha ini digerakkan dengan membangunkan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi dan mengusahakan kraf sebagai sumber pendapatan utama mahupun sampingan. Di samping itu, usaha ini juga mampu mewujudkan tenaga kerja baharu dan peluang pekerjaan secara inklusif kepada semua golongan dan lapisan masyarakat,” kata YB Dato’ Sri Tiong King Sing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing ketika berucap dalam Majlis Perasmian HKK 2023.

“Hingga tahun 2022, bilangan tenaga kerja dalam industri kraf adalah seramai 12 108 orang selain dimeriahkan dengan penglibatan seramai 6841 orang komuniti sokongan yang menjadikan populasi industri kraf di Malaysia seramai 25 840 orang,” kongsi YB Dato’ Sri Tiong King Sing.

Isteri Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail turut hadir menyampaikan dua anugerah usahawan kraf sempena HKK 2023 di Kompleks Kraf. Dua anugerah tersebut ialah Anugerah Usahawan Kraf Muda yang diberikan kepada Zulhelmy Hamdan daripada Ezryhelmy Enterprise, manakala penerima Anugerah Usahawan Kraf 2023 pula ialah Muhamad Isa Saad daripada KWM Craft.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia (kanan) diiringi oleh Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (kiri) melawat reruai dan pameran bersempena HKK 2023.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia meluangkan masa selama 30 minit melawat pelbagai reruai bersempena lawatan kerjanya ke HKK 2023.

Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia turut hadir selepas Majlis Perasmian HKK 2023 dan meluangkan masa selama 30 minit melawat pelbagai reruai bersempena lawatan kerjanya ke HKK 2023 dengan diiringi oleh Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Majlis ini juga disiarkan secara dalam talian menerusi platform Youtube Kraftangan Malaysia https://www.youtube.com/live/x99glS17S3M?feature=share&fbclid=IwAR1-hF9ykBklX6IZCzB176CTnvfbdD-eYrVBFwX1PRzywNzkoR_Ojzbiqag.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.