Diterbitkan pada 4 Oktober 2025, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir menyaksikan pementasan teater Sungai Mengalir Lesu yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Usai menonton, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada DBP kerana terus mempersembahkan karya seni yang bermutu.

Beliau menegaskan bahawa teater bukan sekadar hiburan, tetapi wadah penting dalam memperkukuh bahasa, budaya dan jati diri bangsa melawan kezaliman.

“Pementasan seperti ini sangat relevan dengan tema yang merentasi sempadan, dari kisah masyarakat di Singapura sehingga ke Gaza.”

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan solidariti penuh terhadap perjuangan kemanusiaan di Gaza.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap usai menonton Sungai Mengalir Lesu yang beliau rasakan seperti semangat perjuangan di Gaza.

“Sumbangan di Gaza bukan sahaja kepada perjuangan, tetapi juga kepada masyarakat manusia seluruh dunia yang sering lena dengan kemewahan dan penipuan, sehingga membiarkan kezaliman berlarutan begitu lama,” ujar beliau sebelum mengakhiri ucapannya.

Terdahulu, pementasan tersebut merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama DBP serta Persatuan Badan Budaya DBP,

Pementasan pada kali ini mendapat sentuhan Aris Othman berdasarkan skrip oleh Allahyarham Zakaria Ariffin yang membawa penonton menyelami kisah penuh emosi berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum yang kebuluran dan terseksa oleh tentera Jepun.

Sebelum ini, Sungai Mengalir Lesu pernah dipentaskan pada tahun 1997. Karya tersebut merupakan nukilan Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said yang menonjolkan semangat perpaduan, toleransi dan ketabahan rakyat dalam menghadapi cabaran peperangan dan pendudukan Jepun.

Selain Perdana Menteri, turut menonton pementasan teater tersebut ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama dengan warga DBP serta para penggiat seni.

Suasana auditorium dipenuhi dengan tepukan gemuruh penonton yang terkesan dengan jalan cerita dan lakonan hebat para pelakon.

Sebahagian babak dalam pementasan Sungai Mengalir Lesu.

Sungai Mengalir Lesu akan dipentaskan selama empat hari, bermula pada 1 Oktober 2025 hingga 4 Oktober 2025.

Antara pelakon yang menjayakan teater tersebut termasuklah Akmal Ahmad, Nesa, Shasha Fairus, Roydy Rokidy, Khai Sabri, Megat Adli, Khal Isyaf dan Aloeng Silalahi.

Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi DBP, www.dbp.gov.my.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi