Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Medan – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Promosi Makanan Perlis di dua buah lokasi di kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini.

Keberangkatan baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke negara serumpun tersebut pada kali ini adalah bersempena dengan penganjuran International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) yang dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Lokasi pertama ialah di Universitas Deztron Indonesia (UDI). Pihak UDI diwakili oleh Rektor, Profesor Adjung Dr. Marniati serta Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Bapak Dedi Zefrizal yang hadir memberikan sokongan terhadap usaha mempromosikan makanan tradisi Perlis di rantau ini bersama-sama pemilik merangkap Chef kafe, iaitu Yurika Sari.

Menariknya, menu berkenaan akan dijadikan sebahagian daripada pilihan sajian di Café Pejuang UDI untuk sekurang-kurangnya sebulan yang akan datang.

Destinasi kedua pula ialah di Hotel Grand Mercure Medan Angkasa, Medan, dan disambut mesra oleh warga hotel bertaraf lima bintang tersebut. Antaranya termasuklah Sous Chef, Johan Pratama; Pengarah Jualan dan Pemasaran, Debby Silvia Renny; dan Pengurus Jualan Kanan, Asmilati Sirefer.

Promosi ini mempersembahkan menu autentik warisan Perlis yang disajikan dengan kerjasama FCoEE, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan Mizza’s Kitchen Gial, Perlis bagi menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026 serta meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi