Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Bharu — Seni warisan tradisi terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda apabila hampir 900 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Kelantan menyertai Pertandingan Dikir Barat Peringkat Negeri Kelantan DBPWT–BSN 2025 yang berlangsung meriah di AEON Mall Kota Bharu, pada 8 Oktober lalu.
Pertandingan yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu menyaksikan penyertaan sebanyak 44 pasukan dan berjaya membuktikan bahawa dikir barat kekal segar serta diminati oleh golongan muda biarpun berhadapan dengan arus digitalisasi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, ketika merasmikan pertandingan akhir berkata bahawa penganjuran itu menjadi bukti bahawa seni tradisi mampu dimanfaatkan sebagai wadah memperkasakan bahasa Melayu dan jati diri bangsa.
“Saya berasa bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri bagaimana dikir barat dijadikan medium penting untuk memupuk penggunaan bahasa yang baik serta mengangkat martabat bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau turut memuji Bank Simpanan Nasional (BSN) atas inisiatif menyampaikan mesej celik kewangan melalui medium tradisional tersebut.

“Inisiatif ini membuktikan seni tradisi kita boleh terus hidup segar dengan suntikan nilai baharu yang relevan dengan keperluan zaman,” ujarnya.
Pengarah DBP Wilayah Timur (DBPWT), Puan Ariza Ismail, berkata bahawa penganjuran bersama BSN Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) dan AEON Mall Kota Bharu berpaksikan tiga matlamat utama, iaitu membudayakan bahasa kebangsaan, menyampaikan mesej kewangan secara santai dan mengangkat dikir barat sebagai wadah ilmu serta nilai murni.

Dalam pertandingan tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Lati, Pasir Mas, dinobatkan sebagai juara kategori sekolah rendah melalui persembahan bertemakan peribahasa “Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Pasukan itu membawa pulang wang tunai bernilai RM650, piala buku terbitan DBP serta gelaran “Tok Jogho Terbaik” dan “Tukang Karut Terbaik”.

Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat muncul sebagai juara selepas mengupas tema “Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan”, sekali gus menewaskan sebanyak 24 pasukan yang lain. Mereka menerima wang tunai bernilai RM800 tajaan BSN dan piala buku DBP.
Program berimpak tinggi ini bukan sahaja menonjolkan bakat pelajar, malah menyemai kecintaan terhadap seni warisan sejak pada peringkat akar umbi melalui latihan, gubahan lirik dan kerja berpasukan yang membentuk kebijaksanaan berbicara, kerjasama dan nilai persepakatan.

Di sebalik gegak gempita paluan rebana dan lantunan tukang karut, terserlah semangat generasi muda Kelantan untuk menjadi pewaris budaya bangsa. Usaha berterusan DBPWT dan BSN ini membuktikan bahawa seni tradisi seperti dikir barat bukan sekadar hiburan rakyat, tetapi turut menjadi wadah membina bangsa dan bahasa yang hidup sepanjang zaman