Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Teater psikologi Dia Pernah Wujud yang dipentaskan di Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) pada 10-13 Oktober 2025 berjaya mengajak masyarakat agar lebih peka terhadap isu kesihatan mental, serta menyeru agar setiap insan kembali kepada fitrah dan mencari ketenangan melalui kebergantungan pada Allah.
Teater yang dianjurkan secara bersama oleh Kelab Aspirasi Suara (VAC) dan Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) itu dipentaskan bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat UnIPSAS.
Pementasan yang dibuka secara percuma kepada orang ramai ini berjaya menarik kehadiran ratusan penonton yang hadir memberikan sokongan, terdiri daripada pelajar UnIPSAS, ahli Kelab Rajuk Pahang, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan anak jagaan Akademi YASA-MUIPS dan Kompleks Permata Camar.
Mengangkat tema trauma, kehilangan dan penyembuhan, teater yang berlangsung selama dua jam setengah itu menyentuh hati penonton melalui perjalanan dua watak utama, iaitu Inara dan Imran yang masing-masing bergelut dengan bayang-bayang masa lalu.
Inara digambarkan sebagai gadis yang baru kehilangan ibu tersayang yang selama ini merahsiakan penyakitnya, manakala abangnya, Firdaus tenggelam dalam kemurungan dan rasa bersalah yang hampir meragut nyawanya sendiri.
Pada sisi lain, Imran pula hidup dalam trauma akibat penderaan arwah ayah kandungnya dan konflik dengan ibunya yang tidak pernah mempercayainya. Dalam kesepian itu, muncul “Nurin” – sahabat khayalan yang rupa-rupanya ialah sisi gelap dirinya sendiri.
Pertemuan antara dua jiwa yang luka ini akhirnya menjadi titik mula pemulihan – mengajar penonton bahawa penyembuhan bukanlah tentang melupakan, tetapi keberanian untuk memaafkan dan kembali kepada Allah.

Teater ini diarahkan oleh Nur Azryn Athirah atau lebih dikenali dengan nama pena Nurynn Medina yang juga merupakan penulis asal karya tersebut. Menurutnya, Dia Pernah Wujud diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya berdepan dengan cabaran kesihatan mental dan perjuangan untuk sembuh.
“Saya menulis naskhah ini dengan harapan agar penonton memahami bahawa isu kesihatan mental bukan kelemahan, tetapi perjuangan yang memerlukan keberanian luar biasa. Saya bersyukur kerana karya ini berjaya dipentaskan dengan begitu indah dan penuh penghayatan,” katanya ketika ditemui selepas pementasan.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dan terharu melihat naskhahnya dihidupkan di pentas buat julung kalinya, dengan tenaga pelakon muda yang berbakat dan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan produksi.
Pementasan teater Dia Pernah Wujud boleh diangkat sebagai medium dakwah dan pendidikan jiwa. Melalui gabungan skrip yang mendalam, pencahayaan simbolik dan alunan muzik yang melankolik, penonton dibawa menyelami konflik dalaman manusia antara realiti dengan khayalan, dan antara gelap dengan cahaya.
Teater Dia Pernah Wujud membuktikan bahawa seni mampu menjadi wadah penyembuhan dan kesedaran, seiring dengan usaha UnIPSAS untuk memperkasakan kesejahteraan mental dan rohani pelajarnya.