Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakar kejayaan yang membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pendukung Seni (Agensi Kerajaan/Korporat) dalam Majlis Anugerah Seni Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025.
Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YBrs. Encik Ismadi Sakirin yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur di Tanjung Lounge, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu.
Majlis penganugerahan itu menyaksikan DBP yang diwakili oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00 berserta piala dan sijil penghargaan.
Sementara itu, pengiktirafan tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen berterusan DBP memartabatkan bahasa, sastera dan kebudayaan kebangsaan melalui pelbagai inisiatif serta program pengembangan seni dan warisan budaya.
Pada masa yang sama, antara individu lain yang turut menerima anugerah dalam majlis itu termasuklah pendidik seni tari, Profesor Dr. Joseph Victor Gonzales dalam kategori Tokoh Seni Negeri Wilayah Persekutuan, selain Abdul Wahab Hamzah bagi Anugerah Penggiat Seni (Teater) dan Sivabalan Shanmuga Sundraw bagi Anugerah Penggiat Seni (Muzik).
Anugerah Pendukung Seni (Badan Bukan Kerajaan) pula disandang oleh Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya manakala Anugerah Pendukung Seni (Media) pula dimenangi oleh Radio KLFM.
Majlis berprestij anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Malaysia itu merupakan platform yang memberikan pengiktirafan kepada penggiat seni dan institusi yang berwibawa serta aktif dalam usaha menyemarakkan seni budaya di sekitar Kuala Lumpur.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris.
