Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 22:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Malam Seni Irama Jiwa dan Dikir Bertingkah yang berlangsung di Dataran Platinum Mall, Kota Bharu pada malam Jumaat lalu menjadi wadah meraikan keindahan seni, puisi dan kearifan tempatan dalam satu persembahan yang penuh warna budaya dan nilai bahasa Melayu.

Majlis yang sarat dengan elemen apresiasi terhadap karya seni tanah air itu dimulakan dengan deklamasi sajak berjudul Lidah Bangsa karya YBhg. Datuk A. Aziz Deraman oleh Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail.

Sajak berkenaan menggambarkan kekuatan bahasa Melayu sebagai lidah dan jiwa bangsa yang menjadi teras kepada jati diri rakyat Malaysia.

Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan dua buah lagu puisi oleh penyanyi jalanan, Wan Elias Buskers yang membawakan lagu Balada Seorang Gadis Kecil ciptaan asal Zubir Ali dan Ku Cari Damai Abadi oleh Datuk Ramli Sarip, dengan lirik nukilan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Nyanyian berkenaan mengundang keinsafan dan menyentuh hati khalayak dengan bait puisi yang sarat dengan makna kemanusiaan dan kerohanian.

Satu lagi persembahan menarik ialah Fragmen Teater Kanak-kanak: Di Mana Putera? oleh Pertubuhan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK). Sketsa eksperimental itu menampilkan watak popular seperti Peter Pan dan Kapten Jack Sparrow yang diolah semula dalam konteks tempatan.

Kisahnya berkisar tentang pencarian “emas jarahan” yang dikatakan dicuri oleh dua orang kanak-kanak, namun akhirnya “emas” yang dicari rupa-rupanya melambangkan khazanah bahasa Melayu, simbol kekayaan ilmu dan budaya bangsa.

Acara turut menampilkan adik Chua Boon Pew dari SJK(C) Chung Hwa, Kelantan yang mendeklamasikan puisi bertajuk Bahasa Kita karya Abizai yang memperlihatkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum.

Sementara itu, suasana semakin meriah dengan persembahan medley lagu nostalgia dan daerah oleh penyanyi Man Khan, Aju daripada kumpulan Success serta Emie Sukma Sari yang berjaya memukau penonton dengan gaya persembahan tersendiri dan sentuhan irama klasik.

Kemuncak malam tersebut menampilkan persembahan dikir bertingkah yang unik dan berbeza daripada lazimnya, iaitu menampilkan Tukang Karut Amran DBA dan Pok Nik Ha Senandung Malam bersama-sama kumpulan dikir Arjuna Sukma, diikuti Tukang Karut Me Megat dan G Sinar Kencana bersama-sama kumpulan dikir Sri Remaja Kok Keli.

Berbeza daripada dikir barat tradisional yang menampilkan perlawanan berbalas pantun antara dua kumpulan, dikir bertingkah kali ini memperlihatkan dua orang tukang karut “berlaga” secara langsung di atas pentas, mencipta interaksi spontan bertemakan kehidupan harian.

Antara lagu spontan yang dipersembahkan termasuklah lagu haiwan serta sketsa jenaka pesakit berjumpa dengan Tok Bomoh yang mencuit hati penonton.

Malam penuh seni itu bukan sahaja menggabungkan pelbagai bentuk persembahan seperti puisi, nyanyian, teater dan dikir barat, malah turut menzahirkan kekayaan bahasa dan budaya Melayu dalam bentuk yang segar, kreatif dan menghiburkan.

Acara ini sekali gus menjadi platform penting untuk mengangkat bahasa Melayu dan seni tempatan sebagai warisan yang terus hidup dan relevan dalam kehidupan masyarakat kini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi