Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyarankan agar sebahagian daripada peruntukan dana berjumlah RM110 juta insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia disalurkan khusus kepada program pembangunan pengarah dan penulis skrip tempatan.

Pengerusi FDAM, Dato’ Haji Afdlin Shauki berkata, inisiatif yang diumumkan untuk memastikan tenaga kreatif Malaysia dapat bersaing dengan pengarah antarabangsa dari segi naratif, teknologi dan disiplin produksi.

“Peruntukan RM110 juta yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu, termasuklah RM10 juta untuk kandungan kenegaraan amat dialu-alukan.  Peruntukan tersebut adalah bukti bahawa kerajaan mula memahami potensi besar ekonomi jingga”

“Namun FDAM mencadangkan tafsiran “kenegaraan” diperluas, bukan hanya dokumentari patriotik, tetapi termasuklah filem satira sosial, drama kemasyarakatan dan filem sejarah yang mengangkat nilai kemanusiaan dan kepelbagaian budaya di Malaysia. Semangat kenegaraan tidak semestinya berseragam, boleh hadir melalui pelbagai bentuk ekspresi seni,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai peruntukan RM20 bagi menyokong Ekosistem Kreatif Digital dan kelonggaran perolehan barangan dagangan (merchandise) serta kandungan digital, FDAM berkata bahawa ini merupakan satu reformasi penting.

“FDAM berharap bahawa kelonggaran perolehan merchandise serta kandungan digital merupakan satu reformasi penting dan berharap dana ini diagih secara telus, merit kreatif dan mekanisme profesional yang berpaksikan kualiti kandungan, bukan sekadar kuantiti produksi,” ujarnya.

“FDAM melihatnya sebagai isyarat bahawa kerajaan kini lebih inklusif terhadap format baharu seperti animasi, permainan digital dan kandungan OTT (Over-The-Top),” tambahnya.

Dalam hal ini, katanya, FDAM menyarankan agar inisiatif ini turut merangkumi latihan khas pengarah dalam teknologi baharu seperti Produksi Maya, Penerbitan Filem Kecerdasan Buatan (AI) dan Enjin  Tidak Nyata (Unreal Engine).

Selain itu, kata Afdlin lagi, FDAM juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Dana Pembangunan Harta Intelek agar karya kreatif tempatan boleh dimiliki sepenuhnya oleh penggiat Malaysia dan tidak tergadai kepada pelabur luar.

“Kita mesti membina jaringan ekosistem yang kukuh antara FDAM, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan universiti tempatan untuk membangunkan bakat baharu dan pasaran eksport animasi Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Afdlin turut mengalu-alukan peruntukan RM10 juta untuk penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa yang dijangka memberi sinergi besar kepada sektor pelancongan dan hiburan.

Menurutnya, FDAM melihat langkah ini sebagai peluang untuk mengintegrasikan filem, muzik dan pementasan langsung ke dalam satu ekosistem hiburan nasional yang saling memperkukuh.

“Konsert, festival filem dan pementasan seni boleh menjadi kuasa lembut (soft power) Malaysia pada  peringkat antarabangsa yang boleh mempromosikan bukan hanya artis, tetapi budaya negara yang berjiwa progresif,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi