Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Peserta dari Filipina, Alexander Diimale muncul sebagai juara bagi kategori bukan penutur bahasa Melayu dalam pertandingan Nyanyian Lagu Melayu ASEAN bersempena dengan ASEAN Art Festival 2025 yang berlangsung di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Beliau yang menyanyikan lagu Dia membawa pulang hadiah bernilai RM1,500.00 serta sijil penghargaan.

Naib johan pula dimenangi oleh Kawwalee Vajeesat dari Thailand dengan lagu Dikir Puteri yang membawa pulang hadiah bernilai RM1,200.00 serta sijil penghargaan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ichika Hiramatsu dari Jepun dengan lagu Pelangi Senja yang membawa pulang hadiah bernilai RM1000.00 serta sijil penghargaan.
Sementara itu, bagi kategori penutur bahasa Melayu, johan dimenangi oleh wakil dari Indonesia, Enung Nuraeni yang membawakan lagu Nirmala. Beliau membawa pulang hadiah bernilai RM1,500.00 serta sijil penghargaan.

Naib johan pula dimenangi oleh Adam Harith Putera dari Malaysia dengan lagu Lelaki Ini yang membawa pulang hadiah bernilai RM1,200.00 serta sijil penghargaan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Aaron Tengah dari Brunei dengan lagu Gemilang yang membawa pulang hadiah bernilai RM1,000.00 serta sijil penghargaan.
Empat lagi perserta bukan penutur bahasa Melayu, iaitu Kieu Thanh Huong dari Vietnam (Sayang Kinabalu), Zhuldy Assanova dari Kazakhstan (Bukan Cinta Biasa), Jaehee Park dari Korea Selatan (Sinaran) dan Yath Nongvanann dari Cambodia (Anak Kampung) masing-masing menerima hadiah sagu hati bernilai RM500.00 setiap seorang serta sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dr. Sufiah Jusoh; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, YBhg. Profesor Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum Mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Puan Aninah Anak Janang.