Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Filem Babah mengungguli Festival Filem Malaysia ke -34 (FFM-34) apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik menewaskan saingan terdekat termasuklah Blood Brother Blood Brothers: Bara Naga, Takluk: Lahad Datu, Soloz: Game of Life dan Reversi dengan membawa enam anugerah daripada sembilan pencalonan secara keseluruhan.
Kejayaan filem Babah ini membuktikan naratif pengarahan dan lakonan dalam satu pakej sinematik yang matang mampu memikat barisan juri untuk memilihnya sebagai Filem Terbaik.
Kemenangan besar ini melayakkan penerbitnya,Nads Media Entertainment, menerima Dana Kandungan Kreatif (DKD) berjumlah RM1 juta, hadiah tertinggi dalam sejarah FFM yang bertujuan merangsang penghasilan karya susulan yang lebih bermutu.
Selain Filem Terbaik, Babah turut menguasai empat kategori utama lain, iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq) dan Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri). Pengarahnya, Mohd. Shah Faizul, menerima trofi Pengarah Harapan.
Meskipun filem Babah cemerlang dalam aspek cerita, anugerah Pengarah Terbaik FFM-34 diraih oleh gandingan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra untuk filem Blood Brothers: Bara Naga, mengiktiraf pengalaman bertahun-tahun mereka dalam industri.
Penganugerahan gelaran Pengarah Terbaik diberikan kepada Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra yang telah menunjukkan komitmen serta pengalaman menyumbang kepada kejayaan itu. Malah, Shafiq turut juga dicalonkan bagi kategori pengarah untuk filem Soloz: Game of Life.
Walaupun Babah menyerlah dalam naratif, filem Blood Brothers: Bara Naga pula mendominasi kategori teknikal dan aksi. Filem tersebut turut berjaya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafiq Kyledan Syazwan Zulkifly), Sinematografi Terbaik (Nicholas Chin), Lagu Tema Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, serta Anugerah Khas Filem Box Office dengan kutipan mencecah RM73.6 juta.
Dalam kategori baharu, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, yang diwujudkan pada FFM-34 ini, merupakan langkah tepat bagi mengiktiraf kepakaran pakar aksi lasak tempatan yang selama ini memberi sumbangan besar kepada perkembangan industri filem tanah air, seterusnya meningkatkan ruang pengkaryaan pakar tempatan bagi menandingi filem import.
Di tengah-tengah kemeriahan acara, juri turut mengesan kemunculan beberapa wajah baharu yang bakal mewarnai industri filem negara. Antara yang menonjol ialah Amir Ahnaf (Pelakon Lelaki Harapan), Michelle Lungan (Pelakon Wanita Harapan), dan Puteri Rafasya (Pelakon Kanak-kanak Terbaik).
Pada siri kali ini, dua tokoh penting turut menerima anugerah, iaitu, YBhg. Dato’ Ahmad Tamimi Siregar yang menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman atas pelibatan beliau selama lebih 50 tahun dalam bidang perfileman manakala YBrs. Encik Hassan Abd. Muthalib, seorang tokoh penting yang dianggap sebagai “Bapa Animasi Malaysia”, menerima Anugerah Khas Karyawan FFM-34.
Dengan jumlah penyertaan sebanyak 41 buah filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari serta hadiah wang tunai RM5,000 untuk pemenang 27 kategori dan RM10,000 untuk penerima Anugerah Khas, FFM-34 yang bertemakan “Karya Kreatif, Sinema Dinamik” telah menunjukkan peningkatan dari segi penganjuran.
Selain itu, hadiah tambahan berupa sewaan dan penggunaan kemudahan FINAS bernilai RM20,000 bagi tujuh kategori utama, termasuklah Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Terbaik, Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, jelas menggariskan komitmen penganjur untuk memastikan FFM memberi impak berterusan serta sokongan praktikal kepada industri filem tempatan.
Antara keputusan keseluruhan pemenang bagi setiap anugerah FFM-34 ialah filem Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik, selain turut meraih beberapa kemenangan lain termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul).
Anugerah Pengarah Terbaik dimenangi oleh Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra menerusi Blood Brothers: Bara Naga, yang turut membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly), Sinematografi Terbaik (Nicholas Chin) serta Lagu Tema Terbaik menerusi Bara Jiwa.
Telaga Suriram pula mencatat dua kemenangan menerusi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ellie Suriaty) dan Pelakon Kanak-kanak Terbaik (Puteri Rafasya). Sementara itu, Amir Ahnaf dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan melalui filem Kahar: Kapla High Council, manakala Michelle Lungan meraih Pelakon Wanita Harapan untuk lakonannya dalam filem Tegkang.
Dalam kategori teknikal, Soloz: Game of Life mendominasi bagi Penyunting Terbaik (Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin dan Syafiq Yusof), Skor Muzik Asal Terbaik (Muhammad Zaoff Sharqil, Donald Bangkong, Teoh Eng Hooi, Azri Yunus, Mohammad Raziz, Mohd Idham, Megat Sazali dan Ahmad Huzaini), Penataan Bunyi Terbaik (Mohsin Othman) serta Kesan Khas Visual Terbaik (Jehcob dan Sam).
Turut diumumkan, Penataan Seni Terbaik dimenangi oleh Wan Zulkifli Wan Salleh menerusi filem Kulit Wayang, Rekaan Busana Terbaik oleh Farah Syaliq filem Mencari Ramlee, manakala Tatarias Terbaik dimenangi Ella Sandera melalui filem Takluk: Lahad Datu.

