Oleh Pie Asyraf
Diterbitkan pada 6 November 2025, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya — Universiti Taylor’s dengan bangganya mengumumkan pelantikan empat tokoh terkemuka dalam industri seni persembahan sebagai Profesor Adjung bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).

Empat tokoh terkenal tersebut ialah Dato’ Dr Haji Mohamad Nasir Mohamed atau nama pentasnya, M. Nasir (bidang muzik),  Maria Sascha Khan (bidang tarian), Siti Saleha Mohd Baharum dan Datin Hajah Marlia Musa (dalam bidang lakonan).

Pengalaman luas serta pandangan mendalam daripada dunia seni persembahan Malaysia dan luar negara menyebabkan mereka terpilih.

Sebagai contoh, M. Nasir, seorang penyanyi, penulis lagu, komposer dan penerbit ikonik — pengaruh seni beliau telah membentuk industri muzik Malaysia selama lebih empat dekad.

Melalui bimbingan beliau, pelajar akan didedahkan kepada proses kreatif di sebalik penulisan lagu, komposisi dan penerbitan muzik, sekali gus memperoleh pandangan berharga untuk membina kerjaya dalam industri muzik.

Begitu juga dengan Maria Sascha Khan, yang kini bertindak sebagai Pengarah Pembangunan Artistik bagi Ballet Nights di Asia Tenggara, turut memiliki pengalaman yang luas dalam persembahan, koreografi dan kolaborasi antara budaya akan memperkayakan pemahaman pelajar tentang tarian sebagai bahasa seni sejagat yang menghubungkan manusia merentasi sempadan budaya.

Manakala, Siti Saleha, seorang pelakon terkenal yang dikenali dengan kebolehannya menjiwai pelbagai watak dalam televisyen, filem dan teater akan membantu para pelajar menimba ilmu dalam pentas lakonan.

Siti Saleha akan membimbing mereka dalam lakonan skrin, penjenamaan peribadi dan pembinaan rangkaian profesional dalam dunia televisyen, filem dan iklan.

Melalui bimbingan beliau, pelajar akan mempelajari cara menyesuaikan kemahiran lakonan mereka untuk medium skrin serta membina keyakinan bagi kerjaya yang mampan dalam industri hiburan.

Turut bersama beliau, Datin Marlia Musa, seorang pelakon veteran, akan memberikan pelajar pemahaman yang mendalam tentang landskap seni persembahan Malaysia.

Dengan pengalaman luas dalam bidang lakonan dan pendidikan seni, beliau akan membantu memupuk kreativiti, disiplin serta identiti artistik dalam diri pelajar, agar mereka bersedia menghadapi cabaran dunia industri sebenar.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan universiti untuk menggabungkan kecemerlangan akademik dengan amalan profesional, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara langsung daripada pengamal terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tarian.

Menurut Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) di Universiti Taylor’s, Raziman Sarbini; “Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran tokoh-tokoh industri yang disegani ini sebagai Profesor Adjung dalam program Seni Persembahan,”

“Pandangan dan bimbingan mereka akan memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar kami, memberikan perspektif industri yang tulen serta menginspirasi mereka untuk meneroka batas baharu dalam bidang seni pilihan masing-masing.”

Terdahulu, program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) di Universiti Taylor’s menawarkan tiga pengkhususan utama, iaitu Persembahan, Muzik dan Tarian.

Pengkhususan tersebut menggabungkan kajian akademik dengan pendedahan industri sebenar. Melalui bimbingan terus daripada tokoh-tokoh industri, pelajar akan memperoleh keyakinan kreatif, keupayaan menyesuaikan diri serta kemahiran teknikal yang diperlukan untuk cemerlang dalam dunia seni dan hiburan yang sentiasa berkembang.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), sila layari bit.ly/TaylorsPerformingArts.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi