Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara bakal menganjurkan sebuah festival seni dan budaya, Borneo Creative and Culture District (BCCD) 2025.
Menurut Balai Seni Negara, festival ini akan berlangsung dari 21 November 2025 hingga 23 November 2025 di Kampung Warisan Sabah (Fasa II), Muzium Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
“BCCD 2025 mengetengahkan gabungan seni, budaya dan kreativiti melalui pelbagai pengisian menarik yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat, dan pengunjung berpeluang menikmati pengalaman seni interaktif di ruang terbuka menerusi Art in the Park,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pengunjung turut boleh meninjau Artisan Market yang menampilkan jualan kraf, makanan dan produk tempatan hasil kreativiti komuniti Borneo.
Pelbagai bengkel, demonstrasi dan pameran turut dijalankan secara kolaboratif bersama-sama komuniti seni tempatan, yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk turut serta secara langsung dalam aktiviti seni.
BCCD 2025 juga menampilkan forum dan sesi perkongsian bersama-sama penggiat seni serta usahawan kreatif, di samping persembahan seni dan kebudayaan yang memaparkan keindahan warisan Borneo secara tradisional dan kontemporari melalui muzik, tarian dan persembahan visual.
“Majlis perasmian BCCD 2025 akan diadakan pada Sabtu, 22 November 2025 pukul 7.00 malam, dan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan,” katanya.
Jelasnya, penganjuran BCCD 2025 bertujuan mengangkat nilai seni, budaya dan warisan Borneo, di samping memperkukuh peranan industri kreatif sebagai pemangkin ekonomi serta medium perpaduan masyarakat melalui seni.
Menurut Balai Seni Negara, festival selama tiga hari ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi dan institusi termasuklah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Balai Seni Lukis Sabah, Muzium Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia, Tourism Malaysia, Sabah Tourism Board, Hello Sabah, serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Balai Seni Negara turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik yang memainkan peranan penting bagi menjayakan festival ini.
Katanya, antara rakan kerjasama yang terlibat termasuklah Ruas Garis, Sukaseni Malaysia, Borneo Bengkel, Pangrok Sulap, Haus KCH, Susur Galur, Asgardian Art, Persatuan Seni Visual Sabah, Sabah Youth Network for Creatives, Labuan Visual Art Association, University College Sabah Foundation serta Sekolah Seni Malaysia Sabah.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan pelbagai aktiviti seni dan budaya yang dianjurkan sepanjang festival ini.