Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCHUPING – Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Epigraf, sebuah program seni berskala sederhana, namun kaya dengan nilai apresiasi merangkumi syarahan seni, pameran lukisan, tayangan filem dan bengkel seni yang berlangsung di Ruang Oleh BalBuk Haus, Chuping.

Program ini dianjurkan sebagai usaha memperkasakan kecintaan terhadap seni melalui eksplorasi kreatif berasaskan karya-karya Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said, dengan sokongan Balai Seni Negara. Berteraskan aspirasi memasyarakatkan seni, semua aktiviti dibuka secara percuma bagi memberikan peluang kepada orang ramai menikmati pengalaman seni tanpa batasan.
Sebagai pengisian Program Eksplorasi Karya Agung Sasterawan Negara, Ruang Oleh BalBuk Haus turut menampilkan pameran karya oleh Husin Othman dan Arafat Hambali, dengan menyediakan ruang interpretasi visual terhadap sastera agung negara.

Selain itu, bengkel cetakan cungkil kayu turut dibuka secara terhad kepada orang ramai, lengkap dengan penyediaan peralatan dan makanan bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang selesa dan kondusif. Mengangkat semangat penganjuran, Epigraf membawa mesej utama: “Datang bawa damai, pulang bawa cinta.”
Dalam skala lebih luas, Balai Seni Negara turut menghimpunkan 14 program melibatkan pelbagai persatuan seni lukis serta pelukis cat air dari seluruh negara di bawah payung Program Eksplorasi Karya Agung. Inisiatif ini bertujuan menjadikan karya sastera agung Malaysia sebagai sumber inspirasi utama penghasilan seni visual, sekali gus memperlihatkan kesatuan antara seni sastera dan seni rupa dalam menggambarkan budaya, sejarah, mitos dan identiti masyarakat Malaysia.
Antara persatuan dan penggiat seni yang mengambil bahagian ialah Malaysia Watercolour Society (MWS), Persatuan Seni Visual Malaysia, Hamsa Media PLT, Persatuan Pelukis Terengganu (PETER), Mohd Khairul Anuar, Persatuan Pelukis Seni Visual Kota Kinabalu Sabah, SENIKA Pahang, SERUPA2 Johor, BalBuk Haus Perlis, Persatuan Pelukis Perak, PORT, Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan Art Case Galleries.

Secara keseluruhan, Epigraf menjadi wadah penyatuan komuniti seni serta platform menghargai khazanah sastera negara, menyatukan pelukis, penyair dan masyarakat dalam ruang yang meraikan kreativiti serta warisan budaya Malaysia. Program ini bukan sahaja memupuk apresiasi seni, malah turut menyalakan semula semangat kolaborasi dalam landskap seni tanah air.