Diterbitkan pada 18 November 2025, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelantikan tokoh, pakar dan personaliti pelbagai bidang sebagai ahli lembaga pengarah, profesor adjung atau karyawan tamu di institusi pengajian tinggi (IPT) bukanlah sesuatu yang baharu, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Dunia akademia telah lama membuka pintu kepada pengalaman industri sebagai pelengkap ilmu akademik. Tidak pernah pula timbul kekecohan apabila seseorang yang benar-benar berpengalaman dan dihormati diberi amanah tersebut.

Namun begitu, reaksi terhadap pelantikan terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung memperlihatkan sisi berbeza masyarakat kita. Pelantikan tokoh industri muzik itu yang juga merupakan ikon niaga terkemuka menjadi bahan perdebatan awam.

Kita sepatutnya berasa bangga apabila seorang personaliti terkemuka negara diiktiraf oleh universiti tersohor. Pelantikan itu bukan sekadar penghormatan kepada beliau, tetapi juga pengiktirafan terhadap nilai kepakaran industri dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Sebelum ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah melantik pakar industri untuk menduduki kerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP). Pada tahun 2020, seorang pereka dan usahawan fesyen, Dato’ Rizalman Ibrahim, yang juga alumni universiti itu, telah dilantik sebagai ALP bagi tempoh tiga tahun. Pada Oktober tahun 2023 pula, beliau dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Islam dan Kontemporari (ACIS), UiTM. Hal ini membuktikan bahawa kepakaran industri tetap mendapat tempat dalam dunia akademik.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza bukanlah tokoh industri hiburan pertama diberi peluang sebegitu. Pada tahun 2015, penyanyi Fauziah Latif dilantik sebagai Karyawan Tamu di Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Meskipun ditempatkan di pusat pengajian yang tidak berkait langsung dengan bidang muzik, Fauziah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

Enam tahun selepas pelantikan Fauziah Latiff, UMT telah melantik jaguh lumba basikal negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang sebagai Karyawan Tamu di Pusat Pembangunan Holistik dan Kokurikulum, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Perkara tersebut membuktikan bahawa pengalaman dan nilai kepimpinan tidak terbatas pada satu disiplin semata-mata.

Seorang lagi tokoh seni yang dilantik sebagai pakar di IPT sebelum Siti Nurhaliza ialah Ferri Anugerah Makmur, seorang penyanyi era 1980-an.  Beliau yang juga seorang penulis telah dilantik sebagai Felow Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Industri dan Teknokrat (ELITE) di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM).

Kekecohan mengenai pelantikan tokoh bukan akademik sebagai pakar rujuk di IPT,  bukan sahaja berlaku di Malaysia.  Di United Kingdom, pelakon Angelina Jolie, yang juga seorang aktivis kemanusiaan, turut menerima kritikan apabila dilantik sebagai Pensyarah Bersama di London School of Economics untuk kursus Sarjana Wanita, Gender dan Keselamatan, bergandingan dengan bekas Setiausaha Luar United Kingdom, William Hague.

Namun di Stanford Business School, California, pelantikan Tyra Banks sebagai pensyarah undangan kursus Penjenamaan Diri pada tahun 2017 diterima dengan baik oleh komuniti akademik.  Begitu juga di University of Tennessee, Knoxville, pelantikan bekas atlet terkenal Peyton Manning sebagai profesor pakar dalam Fakulti Komunikasi dan Maklumat pada 2023 turut menerima reaksi positif.  Jelaslah bahawa di luar negara, kepakaran industri dihargai, bukan dipertikai.

Hakikatnya, pelantikan tokoh industri di IPT tempatan bukan perkara baharu. Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, misalnya, pernah menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia (USM) dan menghasilkan filem Ali Setan (1985) bersama-sama pelajar Program Komunikasi di bawah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Kejayaan filem terbitan bersama Amir Communications dan USM itu dalam Festival Filem Malaysia ke-6 pada 1986 membuktikan bahawa kolaborasi antara akademia dengan industri mampu menghasilkan karya bermutu.

USM juga pernah menempatkan Che Mat Jusoh, Adiguru Makyung, Wayang Kulit dan Gamelan, sebagai Karyawan Tamu di Pusat Pengajian Seni.  Sumbangan Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023 itu menjadi satu daripada contoh bagaimana warisan seni tradisional terus dipelihara melalui pendidikan tinggi.

Senarai tokoh industri kreatif yang berkhidmat di IPT cukup panjang.  Antara mereka yang pernah diangkat sebagai tenaga akademik di IPT tempatan ialah pengarah dan pengkritik filem, Hassan Abdul Muthalib.

Beliau yang berpengalaman lebih lima dekad dalam bidang kreatif, termasuklah 27 tahun berkhidmat di Filem Negara Malaysia, telah diberi kepercayaan mengajar kursus perfileman di beberapa IPT tempatan.

Dikenali sebagai “Bapa Animasi Malaysia”, Hassan turut menerima Anugerah Merdeka pada tahun 2018 atas sumbangan besarnya terhadap pembangunan seni visual dan animasi negara. Kepakarannya turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa apabila sering diundang menyampaikan syarahan di universiti terkemuka luar negara.

Seorang lagi tokoh yang wajar disebut ialah Allahyarham Ahmad Ibrahim, atau lebih dikenali dengan nama Mat London. Bekas Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu dilantik sebagai Sarjana Kreatif oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berkongsi pengalaman luasnya dengan generasi baharu dalam bidang pengarahan dan penerbitan.

Sementara itu, YBhg. Datuk Johari Salleh, bekas Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia yang kemudiannya mengetuai Orkestra Kuala Lumpur (1987–2000) serta menjadi Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2001–2004), turut menyumbang kepakaran beliau di universiti. Beliau berkhidmat sebagai Felow Tamu di Pusat Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 2004 hingga 2008, sebelum menjadi Felow Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar di universiti yang sama.

UKM juga terkenal dengan tradisi melantik Profesor Adjung dalama kalangan tokoh berprofil tinggi seperti YBhg. Tan Sri Norliza Rofli (bekas Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara), YBhg. Dato’ Chuari Selamat (bekas Pengurus Radio Klasik) dan YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman (Ketua Pengarah Penyiaran) yang juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM.

Di UM pula, YBhg. Datuk Aznil Hj. Nawawi kini berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

Tradisi pelantikan pakar industri di IPT turut merentasi bidang lain.  Bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin, pernah menjadi Karyawan Tamu di UUM pada 2010. Bekas Editor Dewan Masyarakat dan penulis buku Natrah, YBhg. Datin Seri Fatini Yaacob, serta kartunis tersohor, YBhg. Dato’ Mohammad Nor Khalid atau Lat, juga pernah menyumbang kepakaran di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun yang sama.

Pelantikan tokoh pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi bukan sekadar satu penghormatan, tetapi sebagai strategi memperkukuh hubungan antara akademik dengan kemahiran industri.  Para pelajar bukan hanya memperoleh ilmu, tetapi juga nilai, etika dan realiti industri.

IPT sering melaungkan hasrat melahirkan graduan holistik dan berdaya saing. Oleh itu, pelantikan tokoh industri di IPT bukanlah sesuatu yang harus dipersoalkan, tetapi wajib diraikan.

Matlamat pendidikan tinggi bukan hanya melahirkan ilmuwan, tetapi membentuk insan bersahsiah tinggi yang memahami kehidupan dengan segala kompleksiti dan kepelbagaiannya.

__________________________________

Penulis ialah bekas Setiausaha Agung, Kesatuan Sebaran Am, Institut Teknologi MARA; bekas Setiausaha Agung, Persatuan Veteran RTM; bekas Ahli Majlis Kerja FDAM dan kini merupakan Timbalan Presiden, Persatuan Teater Malaysia, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) serta Ahli Exco Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi