Diterbitkan pada 17 November 2025, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pementasan Teater Muzikal Uda & Dara yang bakal berlangsung pada 20 November 2025 hingga 23 November 2025 di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang menandakan Istana Budaya (IB) kembali memartabatkan bahasa dan seni melalui pementasan teater.

Pementasan hasil kerjasama antara IB dengan Mekar Budaya ini selaras dengan hasrat murni dan peranan IB untuk menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran, khususnya dalam bidang seni persembahan.

Teater yang diadaptasi daripada naskhah karya agung Sasterawan Negara (SN) Dato’ (Dr.) Usman Awang ini diperuntukkan di bawah B11 Ikhtiar 57 – Bahasa dan Karya Kreatif menerusi Program Memartabatkan Bahasa dan Karya Agung Insentif Belanjawan MADANI 2025.

Antara objektif utama pementasan Teater Muzikal Uda & Dara termasuklah untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang puitis, sejajar dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) pada setiap tahun.

Poster Teater Muzikal Uda dan Dara.

Sebagai karya ikonik, Teater Muzikal Uda & Dara telah diolah semula dalam bentuk muzikal kontemporari, namun masih mengekalkan bahasa puitis serta mesej sosial karya asal tersebut.

Persembahannya diserikan dengan gabungan muzik dan tarian tradisional Melayu bersama-sama elemen muzikal moden, menjadikannya persembahan yang segar dan relevan kepada khalayak masa ini, termasuklah generasi muda dan tempatan.

Setiap lagu disusun dengan kreatif dengan iringan muzik secara langsung di pentas bagi mewujudkan suasana persembahan yang fleksibel, bertenaga serta memperindah lagi persembahan.

Persembahan malam Teater Muzikal Uda & Dara dijadualkan pada 20 November 2025 hingga 22 November 2025, pukul 8.00 malam di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang.

Persembahan pada sebelah petang (matinee) pula pada 22 dan 23 November 2025, pukul 2.30 petang di pentas yang sama.

Tiket persembahan boleh dibeli menerusi platform Cloudjoi dengan harga RM40, RM75, RM100 dan RM150.

Tempahan tiket boleh didapati di setiap platform media sosial IB, atau dengan mengimbas kod QR yang terdapat pada poster hebahan IB.

IB turut memberikan potongan harga sebanyak 15 peratus, khususnya untuk tiket yang berharga RM150 bagi warga emas, penjawat awam, pelajar, dan golongan kurang upaya (OKU) dengan terma dan syarat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi